PERANCANGAN baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memperkasakan skuad kebangsaan semakin jelas dengan pengumuman rasmi pelantikan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih skuad senior dan Nafuzi Zain untuk skuad bawah 23 tahun pada Isnin.

Walaupun butiran lengkap masih dalam proses penyusunan, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, menegaskan bahawa struktur baharu ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda bola sepak negara di bawah pelan hala tuju F-30.

“Pengumuman semalam merupakan langkah awal. Dua posisi penting telah diumumkan, dan selepas ini akan ada pengumuman lain untuk melengkapkan pasukan termasuk pelantikan CEO, sistem kejurulatihan, serta penolong jurulatih,” jelas Yusoff

Pengumuman rasmi pelantikan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih skuad senior dan Nafuzi Zain untuk skuad bawah 23 tahun semalam.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan kontrak jurulatih baharu ini akan bermula pada 1 Januari, dengan tempoh perkhidmatan dijangka lebih panjang, kemungkinan satu hingga dua tahun.

“Biasanya minimum pun setahun. Tapi dalam kes ini mungkin lebih lama, walaupun saya belum dapat detail yang lengkap,” katanya.

Berkenaan isu potensi pertindihan tugas antara Pau Marti dan Cklamovski, Yusoff menjelaskan bahawa Pau Marti akan kekal mengemudi skuad kebangsaan sehingga tamat kempen piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024.

“Apa pun kalau kita melangkah jauh, Pau Marti akan meneruskan tugasnya sehingga habis kejohanan ini. Skuad baharu pula akan fokus untuk kelayakan Piala Asia,” ujar Yusoff.

Ditanya mengenai barisan penolong jurulatih, Yusoff tidak menolak kemungkinan melibatkan jurulatih tempatan untuk mendampingi ketua jurulatih asing.

“Kebiasaannya kalau kita ada foreign head coach, akan ada satu lokal untuk menyokongnya. Jurulatih tempatan lebih memahami budaya dan boleh memberi input terhadap pemain tempatan,” katanya.

Pau Marti akan meneruskan tugasnya sehingga habis kejohanan ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024.

Ketika menjawab persoalan mengenai justifikasi FAM membuat pengumuman ketika skuad kebangsaan masih berjuang di AMEC, Yusoff menjelaskan bahawa perancangan ini telah dibuat sejak 5-6 bulan lalu.

“Ini adalah perancangan jangka panjang. Pau Marti pun faham bahawa AMEC ini adalah tugas terakhirnya bersama skuad kebangsaan. Jadi, tidak ada isu bila kita mengumumkan jurulatih baharu,” tambahnya.

Menyentuh hala tuju F-30, Yusoff optimis struktur baharu ini akan memperkasakan agenda F-30 tersebut.

“Dengan wajah baharu ini, saya yakin kita berada di landasan yang betul. Ini adalah perancangan untuk membawa bola sepak negara ke tahap lebih baik, bukan sebaliknya,” katanya penuh yakin.

Struktur baharu ini bakal menjadi tonggak kepada usaha Malaysia untuk mencipta impak besar di Piala Asia akan datang, dan dengan kehadiran barisan kejurulatihan yang mantap, FAM berharap perubahan ini mampu membawa nafas baharu kepada bola sepak negara.

Datuk  Wira Mohd Yusoff Mahadi ditemui selepas merasmikan kerjasama FAM dan e-Football Konami di Sofitel Kuala Lumpur pada Selasa. 

Dalam majlis yang sama, FAM turut mengumumkan kerjasama strategik bersama Konami eFootball, yang bakal melancarkan kempen eksklusif untuk menghubungkan komuniti peminat bola sepak Malaysia dengan cara yang lebih interaktif. Kempen ini akan merangkumi aktivasi khas, pertandingan, serta acara yang dirancang untuk menyerlahkan semangat bola sepak Malaysia.

Lebih menarik lagi, Konami eFootball turut memperkenalkan kad status EPIC khas untuk legenda bola sepak negara, Safee Sali, menerusi siri Harimau Malaya Stars. Kad ini meraikan sumbangan ikonik beliau terhadap sukan bola sepak Malaysia dan menjadi simbol legasi beliau yang berkekalan.

Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang untuk penglibatan lebih luas dengan komuniti bola sepak tetapi turut menonjolkan komitmen terhadap penghormatan kepada kecemerlangan bola sepak negara. FAM terus melangkah ke hadapan dengan perancangan baharu dan inovatif, membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih gemilang.