TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, menyatakan kesediaannya untuk bertanding dalam Kongres Pemilihan FAM penggal 2025-2029 sekiranya masih mendapat kepercayaan daripada ahli gabungan.
Namun, beliau menyerahkan keputusan tersebut sepenuhnya kepada kebijaksanaan ahli gabungan untuk menilai sama ada khidmatnya masih relevan dalam usaha memacu pembangunan bola sepak negara.
“Sejak 2013 saya berada dalam FAM sebagai exco, dan dua penggal sebagai Timbalan Presiden. Saya fikir ahli gabungan lebih bijak membuat penilaian.
“Kalau mereka rasa saya masih diperlukan di sini, saya sedia. Tapi kalau tidak, alhamdulillah,” katanya.
Perbincangan mengenai struktur kepimpinan baharu dalam badan induk bola sepak negara menjadi tumpuan susulan pengumuman Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam Kongres Pemilihan FAM yang dijadualkan berlangsung pada 15 Februari 2025.
Keputusan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada barisan kepimpinan baharu untuk melonjakkan prestasi FAM ke tahap yang lebih tinggi.
Langkah Hamidin membuka ruang kepada spekulasi sama ada barisan kepimpinan semasa akan turut berundur atau memilih untuk terus mempertahankan jawatan masing-masing. Dalam konteks ini, Yusoff dilihat mengambil pendekatan berhati-hati, menyerahkan masa depannya di FAM kepada pertimbangan ahli gabungan.
“Kita tunggu keputusan daripada mereka. Jika mereka masih percaya pada saya, saya sedia untuk terus berkhidmat.
“Kalau tidak, saya tetap bersyukur kerana sudah diberi peluang selama ini,” tambah Yusoff.
Dengan pemilihan yang semakin hampir, landskap kepimpinan baharu FAM kini menjadi perhatian ramai. Adakah pembaharuan yang dijanjikan mampu membawa perubahan positif kepada bola sepak negara?
Jawapannya akan terungkai pada Februari nanti, apabila barisan kepimpinan baharu dipilih untuk membawa hala tuju baharu kepada FAM.
Untuk rekod, Yusoff berada dalam struktur FAM sejak lebih sedekad lalu, memainkan peranan utama dalam pelbagai aspek pembangunan bola sepak di Malaysia. Kini, segalanya bergantung kepada keputusan ahli gabungan untuk menentukan sama ada pengalaman dan kepimpinannya masih diperlukan untuk penggal seterusnya.