Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan perlumbaan akhir acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Velodrom Nasional, semalam.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah. Keberangkatan baginda disambut Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari.

Pada kejohanan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang selepas berakhirnya saingan acara keirin lelaki dan wanita.

Tumpuan utama terarah kepada pelumba elit negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang berjaya merampas semula gelaran juara kebangsaan acara keirin lelaki selepas meraih pingat emas.

Shah Firdaus menewaskan rakan sepasukannya, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak, manakala Muhammad Fahil Mohd Zonis melengkapkan kedudukan podium menerusi pingat gangsa.

Kejayaan tersebut menyaksikan Shah Firdaus kembali menjulang gelaran kebangsaan acara keirin buat kali pertama sejak edisi 2022.

Dalam kategori wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan statusnya sebagai antara pelumba terbaik negara apabila menepati ramalan untuk memenangi pingat emas acara keirin.

Pingat perak menjadi milik Nur Alyssa Mohd Farid, manakala Anis Amira Rosidi meraih pingat gangsa.

Sumber Gambar: Kesultanan Pahang