PROSES adaptasi jentera Aprilia RS-GP berjaya membuahkan hasil buat dua pelumba pasukan RNF MotoGP Team, Miguel Oliveira dan Raul Fernandez apabila dilihat selesa ketika ujian rasmi MotoGP Winter Testing di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu.

Meskipun diganggu keadaan cuaca hujan pada sebelah awal dan penghujung sesi, pasukan RNF MotoGP Team berjaya memanfaatkan keadaan ketika litar kering dalam persediaan menghadapi musim Kejuaraan Dunia MotoGP dengan kedua-dua pelumba meninggalkan Sepang dengan rasa puas hati.

Selepas melengkapkan 136 pusingan sepanjang tiga hari ujian itu, Fernandez kelihatan semakin yakin dengan jenteranya apabila berjaya mencatat masa yang lebih baik dari sehari ke sehari dengan mencatat masa 0.402 saat lebih pantas pada Ahad untuk kedudukan ke-11 keseluruhan.

“Ujian ini sangat positif. Saya fokus untuk memahami jentera dan dapat rasakan semua pihak melakukan tugas dengan baik minggu ini dan semestinya saya gembira menunggang motosikal ini,” jelas Fernandez yang gembira kerana diberikan peluang untuk berlumba dengan pasukan ini.

Manakala Oliveira pula sedang mengadaptasi jenteranya dengan lebih lagi dan berjaya melakukan 154 pusingan dan memberikan respons yang baik terhadap kepantasan jenteranya serta tidak sabar untuk ujian rasmi kedua di Portugal bulan hadapan.

“Masih ada beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk benar-benar mengadaptasi jentera ini kerana ianya sangat berbeza dengan jentera sebelum ini. Namun kami tahu apa yang perlu dilakukan dan akan melakukan sesuatu untuk ujian di Portimao sebelum bermula musim perlumbaan,” katanya Oliveira selepas selesai sesi ujian hari ketiga.

Datuk Razlan Razali

Sementara itu Pengasas dan Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali pula berpuas hati dengan data yang diperolehi di Sepang dan akan digunakan untuk ujian di Portimao sebelum perlumbaan sebenar di Grand Prix Portugal.

“Ianya adalah tiga hari yang cukup positif buat kedua-dua pelumba kami dan gembira dengan apa yang telah mereka lakukan. Kami kini mempunyai banyak data untuk digunakan di Portimao dan ianya juga pasti satu lagi sesi ujian rasmi yang menarik sebelum ke pusingan pertama perlumbaan di Grand Prix Portugal yang juga perlumbaan tempat sendiri buat Miguel Oliveira,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan.

Pada hari ketiga MotoGP Winter Testing di Litar Antarabangsa Sepang, Raul Fernandez berjaya mencatat masa ketujuh terpantas manakala Miguel Oliveira ke-11 sekaligus menimbulkan keyakinan buat pasukan Malaysia ini untuk mempamerkan prestasi baik sepanjang musim untuk merebut tempat di podium.