KESATUAN Ragbi Negeri Johor (JRU) berjaya membawa pulang takhta Juara Piala Agong 2026 Edisi ke-42 selepas berjaya menumpaskan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) di Stadium Shah Alam petang tadi.

Melalui kemenangan 34-26, JRU akhirnya berjaya menebus kekecewaan lalu dan menamatkan kemarau kejuaraan Piala Agong yang berlarutan selama enam edisi berturut-turut.

Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata beliau sangat bersyukur kerana setelah tiga tahun berturut-turut mencoba untuk memenangi Piala Agong.

“Alhamdulillah tahun ini player-player dalam keadaan yang tenang, bermain mengikut rancangan permainan dan menunjukkan semangat yang luar biasa untuk comeback dan memenangi Piala Agong pada tahun ini,” ujar beliau.

Babak awal menyaksikan JRU bermula langkah kiri apabila ketinggalan 19-17 pada separuh masa pertama.

“Pada saya, pasukan yang lebih fit akan mengawal perlawanan sampai habis.

“Kita telah buktikan kerana kita fokus kepada tahap kecergasan dan kita telah membuat persediaan lama sebenarnya, untuk berlawan dengan pasukan yang kuat seperti Sri Lanka dan sebagainya sebelum ke kempen Piala Agong,” tambah beliau mengenai pasukan Johor ketinggalan pada awal perlawanan.

Beliau berharap agar program pembangunan yang sedia ada serta penganjuran Super League akan datang mampu membantu pasukan Johor mengekalkan rentak kemenangan, sekali gus terus melonjakkan kualiti pemain mereka.

Dalam pada itu, Aqasha Irwan, berkata anugerah Pemain Terbaik Kejohanan Piala Agong 2026 yang diterimanya sebagai satu penghormatan besar yang amat menggembirakan sehingga sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Melengkapkan hari gemilang Johor, Tim Nanai Williams meluahkan rasa syukurnya selepas impian merangkul gelaran juara akhirnya menjadi kenyataan hasil pengorbanan sepanjang tiga bulan terakhir.

Beliau turut mengakui kualiti serta sengat persaingan ragbi di Malaysia sebenarnya jauh lebih kompetitif daripada apa yang dijangkakannya.

Impian Johor untuk kembali bergelar raja ragbi tanah air akhirnya tercapai, menamatkan kemarau kejuaraan enam edisi lalu selepas kali terakhir mereka mendominasi saingan Piala Agong pada tahun 2017.