KEJAYAAN Lee Zii Jia memastikan Malaysia mengesahkan kemenangan pertama dalam aksi Kumpulan Piala Thomas selepas melalui detik mencemaskan menentang England.
Turun sebagai perseorangan ketiga, Zii Jia (ranking ke-82 dunia) tidak berdepan masalah untuk menundukkan Nadeem Dalvi (ranking ke-233 dunia) 21-11, 21-13 dalam tempoh 35 minit, untuk melengkapkan kemenangan 3-2 buat skuad negara.
Terdahulu, beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menduduki ranking kedua dunia meletakkan Malaysia di landasan tepat apabila menewaskan Oliver Butler-Samuel Jones (ranking ke-83 dunia) 21-13, 21-19 dalam tempoh 33 minit.
Gandingan kedua negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ranking ke-6 dunia) turut mempamerkan aksi meyakinkan selepas menundukkan Alex Green-Zach Russ (ranking ke-64 dunia) 21-14, 21-14 dalam masa 33 minit.
Bagaimanapun, laluan Malaysia tidak mudah apabila dua mata awal berpihak kepada England, dengan Hoh Justin (ranking ke-44 dunia) tewas 19-21, 19-21 kepada Harry Huang (ranking ke-62 dunia), diikuti kekalahan Aidil Sholeh (ranking ke-51 dunia) yang tunduk 15-21, 16-21 kepada Cholan Kayan (ranking ke-153 dunia).
Situasi itu menyaksikan skuad negara dipaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum memastikan kemenangan 3-2, sekali gus menghidupkan kempen mereka dalam saingan berpasukan tersebut.
Malaysia dijadualkan meneruskan cabaran dengan menentang Finland pada Isnin dalam usaha mengukuhkan kedudukan kumpulan.
Sumber Gambar: BAM