PASUKAN Sri Bendahara muncul juara Kategori 2 Kejohanan Cahaya Cup 2026 selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan yang berlangsung di Kuala Lumpur Polo Club dari 3 hingga 14 Jun lalu.
Kejayaan itu sekali lagi membuktikan kekuatan serta dominasi pasukan polo Pahang yang terus menjadi antara pencabar utama dalam arena polo tempatan. Dalam aksi final yang berlangsung sengit, Sri Bendahara berjaya menewaskan El Viento La Sarita untuk muncul juara Kategori 2, manakala Royal Pahang menamatkan saingan di tempat ketiga.
Lebih membanggakan, pemain utama Sri Bendahara, Tengku Arif Bendahara, turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) hasil persembahan konsisten dan kepimpinan cemerlang yang dipamerkan sepanjang kejohanan.

Tengku Arif Bendahara menerima anugerah MVP Cahaya Cup 2026 daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang selepas membantu Sri Bendahara menjuarai Kategori 2.
Kejayaan Sri Bendahara bukan sahaja menyerlahkan kualiti pemain yang dimiliki, malah membuktikan keberkesanan pembangunan sukan polo di bawah naungan institusi diraja Pahang yang terus melahirkan pemain berprestasi tinggi.
Dalam kategori individu lain, Shaik Reismann menerima pengiktirafan sebagai Best Playing Pro, manakala anugerah Best Playing Pony menjadi milik kuda “Irenita Delicada” daripada pasukan La Sarita.
Sementara itu, saingan Kategori 1 Low Goal menyaksikan pasukan Samudera muncul juara selepas aksi konsisten sepanjang kejohanan, diikuti Malaya Cavaliers di tempat kedua dan Langkasuka di tangga ketiga. Kategori ini turut menyajikan persaingan sengit dengan setiap pasukan mempamerkan corak permainan berkualiti tinggi dalam edisi Cahaya Cup 2026.

YM Tengku Firhan Shah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) bagi Kategori 1 Low Goal Cahaya Cup 2026 selepas aksi cemerlang mewakili pasukan Samudera.
Dalam kategori tersebut, YM Tengku Firhan Shah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) hasil prestasi cemerlangnya bersama Samudera, manakala anugerah Best Playing Pony menjadi milik “Branca” yang dimiliki oleh Dato’ Nonee Radzi dan Harith Haslizan. Namun begitu, tumpuan utama kejohanan tetap terarah kepada Kategori 2 apabila Sri Bendahara yang mewakili Pahang berjaya menjulang kejuaraan selepas aksi final yang sengit,mengharumkan nama Pahang di pentas Cahaya Cup 2026.