PEMAIN-PEMAIN skuad Kuala Lumpur City FC terkejut dengan perkhabaran peletakan jawatan Ketua Jurulatih, Bojan Hodak hingga ada yang tidak percaya hingga sedikit mengganggu sesi latihan pasukan pada sebelah pagi Rabu.

Kuala Lumpur City FC mengumumkan peletakkan jawatan ketua jurulatih itu pada satu sidang media di Petaling Jaya menerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad yang menggegar seluruh penyokong bola sepak tempatan.

Ketua pasukan KL City, Paulo Josue ketika ditemui mengakui terperanjat tetapi perlu menerima perkara ini dengan hati yang terbuka dan mahu meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Bojan dengan mendapatkan keputusan terbaik dalam Liga Super dan Piala Malaysia.

“Saya baru mengetahui tentang perkara ini dan sudah pasti ianya memeranjatkan. Tetapi inilah kehidupan, kami perlu teruskan apa yang dia tinggalkan dan berikan yang terbaik serta saya ucapkan selamat maju jaya buatnya di kelab baharu.

Reaksi yang sama ditunjukkan oleh pemain pertahanan, Giancarlo Gallifuoco yang juga terkejut dengan berita ini namun dia tetap bersemangat untuk memastikan KL City berjaya meraih tiga mata ketika menentang Kelantan FC pada Sabtu.

“Ya saya sangat terkejut. Bojan dan saya sangat rapat dan saya sedih dengan berita ini tetapi ianya akan menjadi motivasi buat kami untuk beraksi baik dalam aksi bertemu Kelantan FC Sabtu ini,” jelasnya yang cuba menyembunyikan perasaan sedih.

Pemain tengah, Kenny Palraj pula pada mulanya menganggap ianya adalah satu ‘prank’ dan dia memilih kenangan ketika menjulang Piala Malaysia 2021 adalah memori terindahnya bersama Bojan yang sudah dianggap sebagai bapa kerana kepercayaan yang diberikan olehnya ketika dia berpindah dari Perak dahulu.

“Pada mulanya kami ingat dia nak ‘prank‘ kami tetapi dia serius dan sukar untuk kami terima. Saya keluar dari Perak adalah situasi yang sukar buat saya tetapi dia jaga baik dan berikan saya perasaan seperti di ‘home state‘.

“Dia juga sering pertahanan pemain dan jaga kebajikan kami, mudah untuk berbincang dan dia membawa imej ‘father figure‘ buat kami dan dia juga adalah seorang jurulatih yang cukup berbaik dari segi taktikal terutama ‘set pieces’, jelasnya.

Namun begitu, mereka lega apabila mengetahui jurulatih baharu yang akan mengambil alih jawatan itu adalah seorang yang mereka kenal dan rapat sekaligus mengembalikan keyakinan kepada mereka untuk terus beraksi dengan baik.

“Nenad sudah tahu mengenai pasukan ini, keadaan disini dan dia juga sudah tahu pemain yang dia ada jadi pada saya dia tidak mempunyai masalah untuk sesuaikan diri dan saya mengalu-alukan kehadirannya dalam pasukan dan berharap dapat bekerjasama dengan baik,” kata Paulo mengenai Nenad.