MANCHETER City tidak boleh keciciran mata lagi dalam semua aksi jika tidak mahu terus ketinggalan di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal.
Pengurusnya, Pep Guardiola mengakui hal itu selepas Arsenal kini berkelebihan lapan mata berbanding City akan bertandang ke Leed dengan pasukan Guardiola kini sudah dipintas oleh Newcastle di tempat kedua.
Guardiola mendakwa City mempunyai jadual yang ‘mengerikan’ pada Januari dengan perlawanan menentang Chelsea, Manchester United, Tottenham dan Wolves dalam liga.
City juga akan berdepan Chelsea dalam Piala FA dan Southampton dalam saingan Piala EFL dengan skuad Guardiola akan berdepan 18 perlawanan dalam tempoh 18 hari.
Berdasarkan jadual itu, Guardiola menegaskan tiada kesilapan boleh dilakukan dalam usaha City mengejar Gunners dengan Mikel Arteta tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengalah.
“Selepas kekalahan kami menentang Brentford dan dengan betapa kuatnya Arsenal serta lawan yang mengejar rapat, kami perlu berwaspada dan berhati-hati,” kata Guardiola.
“Jika jurangnya menjadi besar ia akan menjadi sangat sukar untuk mengatasi mereka.
“Kami berdepan Leeds dan kemudiannya perlawanan tanpa henti. Jadual kami pada Januari ini sangat teruk dari segi jumlah perlawanan dan kualiti lawan.
“Jadi kami perlu memulakan semula. Itu yang kami lakukan ketika menentang Liverpool (Piala Liga) dan berharap kami dapat meneruskannya.”
Pemain sayap City, Riyad Mahrez menyokong pendapat Guardiola dan berkata penyandang juara itu tidak boleh melakukan sebarang kesilapan jika mereka ingin mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.