KOSONG dan hanya jenama pakaian, Victor menghiasi jersi meletakkan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dalam posisi sukar untuk memburu semaksimum mungkin mata kelayakan ke Sukan Olimpik di Paris, Julai depan.

Memulakan musim 2024 dengan hanya Victor sebagai rakan penaja, Pei Jing mengakui mereka tidak mempunyai sokongan yang cukup, namun sebagai pasangan beregu campuran yang berpengalaman, situasi itu akan diuruskannya dengan baik.

“Sekarang baju juga sudah kosong, tak ada penaja lain jadi memang memahami kerana keputusan kejohanan yang kami sertai tahun lalu, sangat teruk.

“Pada fikiran saya, jika kami berjaya menghasilkan keputusan yang baik, penaja akan datang membantu.

“Jadi, saya dan Kian Meng akan berusaha mendapatkan keputusan yang baik, selepas itu mungkin kami akan berkerja mencari penaja,” kata Pei Jing.

Lai Pei Jing memahami situasi mereka, tiada penaja mahu berkerjasama jika gagal hasilkan keputusan.

Sementara itu, Kian Meng pula enggan topik ketiadaan penaja menjadi perbincangan utama kerana mahu  fokus kepada peningkatan prestasi untuk bersaing dengan gandingan terbaik dunia lain.

Ketika ini, Kian Meng-Pei Jing berada di kedudukan ke-24 senarai kelayakan ke Paris 2024, memerlukan anjakan besar pungutan mata untuk sekurang-kurangnya mengejar Goh Soon Huat-Shevon Lai (18) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (9).

Tan Kian Meng enggan membicarakan mengenai penajaan dan mahu fokus kepada peningkatan prestasi mereka terlebih dahulu.

Pada kejohanan bertaraf Super 1,000 Terbuka Malaysia 2024, Pei Jing dan gandingannya Kian Meng, terkandas di pusingan pertama kepada apilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 11-21, 16-21 dalam tempoh 38 minit.

Kekalahan itu menyaksikan pasangan Korea terbabit menyamai rekod pertemuan 2-2.

Pertemuan pertama dua gandingan itu berlangsung di Kejohanan Badminton Asia yang dimenangi Kian Meng-Pei Jing, namun pada Terbuka Singapura tahun lalu, pasangan Korea terbabit mengatasi pasangan negara.

Pertemuan ketiga di Kumamoto Masters, Jepun pula menyaksikan Kian Meng-Pei Jing menang mudah dua set berturut-turut.