DI sebalik penarikan diri perseorangan lelaki Indonesia, Jonatan Christie (Jojo) ekoran kecederaan buku lali ketika bertemu Kodai Naraoka dari Jepun, terdapat suatu hal di luar jangka yang berlaku.
Ketika Jonatan terpaksa diusung keluar menaiki kerusi roda, petugas medikal bergegas ingin membawa pemain Indonesia tersebut mendapatkan rawatan.
Sewaktu dalam perjalanan menaiki kerusi roda, secara tiba-tiba petugas medikal itu hilang imbangan dalam mengawal kerusi roda tersebut.
Ia sekaligus menyebabkan Jonatan bertukar dari keadaan duduk kepada terbaring namun masih berada dalam dalam kerusi roda tersebut.
HELLO #FrenchOpen2022 YOU FREAKING SERIOUS???? 😭😭😭 pic.twitter.com/O1iHLpwHo2
— bobe (@jijiabaobei) October 28, 2022
Insiden mengejutkan tersebut bukan sahaja mendapat perhatian penonton di stadium malah penjaga garisan juga sempat menoleh ke belakang dan menghela nafas panjang selepas menyaksikan insiden tersebut.
Terdahulu, Jojo unggul di set pertama dengan kedudukan 21-14 sebelum tewas 14-21, dan ketinggalan 13-17 di set penentuan dalam aksi panas di Stade Pierre de Coubertin, Paris.
Wakil Indonesia tersebut turut dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan kerana didakwa sengaja melambat-lambatkan permainan.
Tidak mahu bertikam lidah, Jojo mengambil langkah profesional dengan menarik diri dari perlawanan ekoran kecederaan yang dialami.