PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail  Sultan Ibrahim memberikan gambaran bahawa pemain antarabangsa Argentina dan Sevilla FC, Papu Gomez seakan semakin hampir untuk menyertai kelab tersebut.

Ini selepas TMJ memuatnaik gambarnya bersama-sama Gomez di laman Instagram story peribadinya ketika pemain itu hadir menyaksikan pertandingan Polo yang disertainya di Andalusia, Sepanyol.

Mereka berdua juga dilihat gembira dan tersenyum apabila bertukar-tukar jersi dengan Gomez memberikan jersi Argentina manakala TMJ menyerahkan jersi skuad Polo Johor sebagai balasan.

Baru-baru ini, Tunku Ismail telah memberikan bayangan mengenai bakal pemain antarabangsa terbaharu JDT berkemungkinan Gomez selepas meninggalkan komen di Twitter apabila ditanya adakah JDT akan membawa masuk semula bekas penyerang berbisa, Juan Martin Lucero.

ARTIKEL BERKAITAN: Nama Papu Gomez disebut TMJ

Bayangan ini menjadi lebih cerah apabila Fernando Rodriguez dilepaskan selepas mendapat tawaran bermain di Liga Indonesia sekaligus membuka kuota import yang boleh diisi Papu Gomez sekiranya perpindahan ini terjadi.

Gomez atau nama sebenarnya Alejandro Dario Gomez adalah pemain tengah menyerang yang menjuarai Copa America 2021 bersama Argentina dan pernah bermain di Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bersama kelab Itali, Atalanta dan dipilih antara pemain terbaik dalam skuad pilihan UCL 2019-2020.

Gomez juga turut memuatnaik gambarnya di insta story miliknya dengan mengucapkan terima kasih kepada TMJ kerana memberikan perhatian kepadanya dan juga atas hospitaliti yang ditunjukkan.

Sekiranya jadi kenyataan, kehadiran Gomez ke Harimau Selatan pastinya akan menambahkan lagi nilai komersil kelab itu selepas berjaya mendapatkan bekas bintang Swansea City, Jordi Amat baru-baru ini.