NAMA Erick Thohir kian menjadi ikon bagi perkembangan bola sepak di rantau ASEAN. Walaupun baru setahun menerajui jawatan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Menteri BUMN itu telah mencipta pencapaian gemilang dengan mengangkat prestasi skuad Garuda ke peringkat Asia.
Indonesia berjaya mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia dan kini berpeluang merebut tempat ke Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico. Kejayaan ini mencetus rasa iri hati dalam kalangan negara anggota AFF lain, termasuk Malaysia.
Melihat kejayaan Indonesia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan ingin mencontohi langkah Erick Thohir, termasuk melalui program naturalisasi. Namun, tumpuan kini tertumpu kepada pencarian tokoh sehebat Erick untuk memimpin bola sepak Malaysia ke arah lebih cemerlang.
Menurut pandangan jurulatih antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, sosok yang paling sesuai ialah Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).
“Dari segi status dan sumbangan dalam bola sepak, Tunku Ismail boleh menjadi Erick Thohir versi Malaysia. Baginda ialah Putera Mahkota Johor dan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT),” ujar Raja Isa ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Di bawah pengurusan Tunku Ismail, JDT telah bertukar menjadi kelab gergasi dengan pengurusan profesional serta kemudahan bertaraf antarabangsa. Kelab itu kini mendahului Liga Super Malaysia dengan 40 mata, jauh meninggalkan pesaing terdekat, Selangor FC, yang mengumpul 29 mata.
“Kerja keras dan visi Tunku Ismail telah terbukti. Baginda juga merendah diri untuk belajar daripada kejayaan Indonesia. Pertemuan antara TMJ dan Erick Thohir di Jakarta baru-baru ini menjadi bukti kerjasama positif antara kedua-dua negara,” tambah Raja Isa.
Dalam pertemuan mereka pada 13 November 2024, kedua-dua tokoh ini berkongsi pandangan dan bertekad untuk memajukan bola sepak ASEAN ke pentas dunia.
Selain peranannya di JDT, Tunku Ismail juga memiliki rangkaian antarabangsa yang luas.
“TMJ memiliki potensi luar biasa. Seperti Erick Thohir yang pernah menjadi Presiden Inter Milan, baginda kini memiliki kelab JDT yang tersohor di mata Asia dan global. Ini membuka jalan untuk membina hubungan antarabansga bagi bola sepak Malaysia,” kata Raja Isa.
Pada 15 Disember 2024, Tunku Ismail dijangka membentangkan pelan restrukturisasi bola sepak Malaysia yang mirip dengan program Erick Thohir tetapi disesuaikan dengan keperluan tempatan.
“Visi TMJ adalah mengubah landskap bola sepak Malaysia untuk kembali gemilang seperti era 1970-an hingga 1980-an, ketika kita layak ke Olimpik dan menjadi kuasa besar Asia,” ujar Raja Isa.
Namun, beliau menekankan bahawa kejayaan ini memerlukan kesabaran dan kerja keras.
“Membangun bola sepak bukan tugas mudah, tetapi dengan komitmen dan visi seperti Tunku Ismail, saya yakin Malaysia mampu bangkit,” katanya optimis.