KESATUAN Berbasikal Antarabangsa (UCI) terus mengiktiraf keupayaan Malaysia apabila meluluskan status ProSeries Le Tour de Langkawi (LTdL) untuk tempoh tiga tahun lagi, bermula 2026 hingga 2028.

Naib Presiden UCI, Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan besar buat negara yang kekal diiktiraf antara penganjur terbaik dalam kalendar lumba basikal dunia.

“Ini satu kejayaan besar untuk Malaysia, bukti nyata bahawa UCI mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan negara kita menganjurkan LTdL secara cekap, profesional dan tanpa sebarang isu,” katanya, dalam kenyataan dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini.

Amarjit yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata, beliau berbincang secara langsung dengan Presiden UCI, David Lappartient mengenai kepentingan LTdL sebagai perlumbaan utama di benua Asia dan keperluan mengekalkan statusnya dalam siri ProSeries.

“Saya tekankan kepada Presiden UCI bahawa LTdL bukan sekadar perlumbaan biasa – ia simbol pembangunan dan kemajuan sukan berbasikal di Asia, dan saya gembira beliau memberi sokongan penuh agar ia kekal dalam kalendar UCI,” jelasnya yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

Keputusan itu diumumkan secara rasmi dalam kalendar UCI, sekali gus memberi perkhabaran gembira kepada semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan PKBM.

Bagaimanapun, persoalan masih timbul mengenai pihak yang akan menggalas tanggungjawab menganjurkan LTdL 2026 selepas MSN menamatkan tempoh penganjuran tiga tahun berturut-turut sejak 2023.