LEBIH 2,200 pelari dari dalam dan luar negara bakal membanjiri Pekan Baling pada 15 hingga 16 Ogos ini bagi menyertai edisi ketiga larian denai berprestij, The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2025.

Acara yang mula diperkenalkan pada 2023 itu mencatat peningkatan penyertaan lebih 100 peratus berbanding edisi lalu yang hanya menghimpunkan kira-kira 1,000 pelari.

Antara laluan di dalam gua yang bakal menyediakan pengalaman berbeza kepada peserta TMB100.

Setakat ini, pelari dari 13 negara termasuk Brunei, China, Korea Selatan, Rusia, Switzerland dan United Kingdom mengesahkan kehadiran dalam kategori 10KM, 25KM, 50KM dan 100KM.

Kategori ‘ultra’ iaitu 50KM dan 100KM menjadi tumpuan dengan jumlah penyertaan yang terus meningkat apabila semakin ramai pelari mahu menguji ketahanan diri di laluan lasak.

Datuk Mohd Salleh Saidin – Exco Pelancongan Negeri Kedah.

TMB100 dianjurkan Ten Senses (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Kedah Tourism, Majlis Daerah Baling dan Persatuan Rekreasi Luar & Malim Gunung Baling bagi mempromosikan daerah itu sebagai destinasi eko-pelancongan.

Selain kawasan hutan, para peserta turut berpeluang merentasi sawah padi yang menyajikan pemandangan indah.

Peserta bakal berdepan laluan mencabar merentasi bandar, sawah padi, perkampungan tradisional, hutan dan gua termasuk Gua Tembus, Gua Layang-layang, Gua Matahari, Gua Jepun dan kaki Gunung Pulai.

Edisi kali ini mengetengahkan tema ‘The Origin of Ban Ling’ dengan monyet sebagai logo rasmi, seiring usaha memperkenalkan fauna ikonik hutan Malaysia kepada peserta tempatan dan antarabangsa.