INSIDEN dialami Ng Tze Yong di gelanggang pertandingan di Axiata Arena pada Rabu, diharap tidak menjadi musibah besar hingga sekali lagi mengancam kerjayanya.
Pengarah kejurulatihan perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkata, kecederaan dialami anak didiknya itu nyata mengecewakan.
“Harap-harap ia hanya kecederaan ringan dan bukan sesuatu yang serius,” kata Kenneth.
Tze Yong terpaksa menarik diri ketika mendahului 4-3 pada set kedua, selepas memenangi set pertama 22-20, ketika berdepan pemain Hong Kong, Ng Ka Long di saingan Perodua Masters Malaysia.
Katanya, Tze Yong ketika itu sedang beraksi cemerlang dan mempamerkan permainan paling agresif sejak kembali daripada kecederaan.
Pemeriksaan awal mendapati ada sesuatu yang berlaku, namun keputusan sebenar hanya akan diketahui selepas imbasan penuh dilakukan esok.
“Saya mahu kekal positif, mungkin hanya otot tegang dan bukan kecederaan serius,” katanya sambil menjelaskan insiden tergelincir menjadi punca utama.
Untuk rekod, Tze Yong pernah menjalani dua pembedahan belakang dan hanya kembali ke pentas kompetitif di Kejohanan Badminton Asia April lalu.
FOTO|ASIANA.MY