JURULATIH beregu wanita negara, Rosman Razak menyifatkan perjalanan Pearly Tan-M Thinaah di Kejohanan Dunia 2025 di Paris sebagai detik bersejarah yang penuh pengajaran.

Pasangan ini mencipta sensasi apabila melakar sejarah mara ke final buat kali pertama sebelum berpuas hati dengan pingat perak.

“Tamat sudah edisi kali ini, banyak perkara kami belajar dari proses ini dan kami akan terus belajar demi capai matlamat utama,” kata Rosman ketika dihubungi Flash Sukan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pearly-Thinaah yang berjuang tanpa menyerah diri hingga ke final.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, barisan jurulatih, Institut Sukan Negara (ISN) serta seluruh warga badminton tanah air.

Pearly-Thinaah terpaksa akur selepas tumpas kepada pilihan utama China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dalam final sengit lebih sejam 14-21, 22-20, 17-21.

“Walaupun tewas, saya amat berbangga dengan semangat setiakawan Pearly dan Thinaah meskipun mereka berada dalam situasi sukar.”