TENGKU Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mendedahkan baginda pernah mencadangkan beberapa nama pemain warisan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi dinilai untuk memperkukuh skuad Harimau Malaya.
Menurut baginda, cadangan itu dibuat selepas menerima beberapa saranan daripada ejen pemain sejak hujung tahun lalu yang mencadangkan individu berdarah Malaysia untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada skuad kebangsaan.
“Saya memanjangkan cadangan terbabit kepada FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci bagi menentukan sama ada pemain-pemain berkenaan memenuhi syarat sebagai pemain warisan dan seterusnya dipertimbangkan menyertai skuad kebangsaan.


“Antara pemain yang pernah saya syorkan kepada FAM termasuklah tujuh pemain warisan yang kini terbabit dalam kes siasatan dan sekatan oleh FIFA,” kata Tengku Abdul Rahman menerusi satu kenyataan.
Tengku Abdul Rahman menjelaskan, semua tujuh pemain berkenaan telah diberikan kewarganegaraan Malaysia secara sah melalui proses undang-undang yang betul dan cadangan itu dibuat dengan niat murni untuk membantu pembangunan skuad negara.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap visi dan usaha Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ), dalam mempertingkatkan mutu bola sepak tempatan serta menjadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh pengurusan moden dan profesional di Malaysia.
“Bertitik tolak daripada semangat tersebut, saya berkongsi sedikit pengalaman dalam proses naturalisasi dan pemilihan pemain berpotensi sebagai pemain warisan yang layak mewakili skuad kebangsaan,” titah baginda lagi.
Tengku Abdul Rahman turut mengimbas peranan pasukan Pahang dalam memperkenalkan pemain naturalisasi terdahulu seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck — antara inisiatif penting yang pernah membantu memperkukuh Harimau Malaya.
Baginda menegaskan bahawa pemain naturalisasi dan pemain warisan wajar dilihat sebagai aset penting dalam meningkatkan tahap permainan skuad kebangsaan.
“Setiap usaha yang dapat membantu mempertingkatkan standard bola sepak Malaysia akan sentiasa saya sokong,” titah baginda.