PETARUNG muda negara, Muhammad Hafizi Muhlisom berikrar menumbangkan jaguh veteran, Yuskhairul Yusof atau Mat Korro pada final MFN Grand Final Mega 8 Pro Muaythai di Arena of Stars, Genting Highlands, 6 Disember ini.
Tanpa gentar, Hafizi mengumumkan misi berani – mencari kemenangan knockout (KO) ke atas lawannya pada pusingan ketiga.
“Saya dah kaji gaya agresif dan serangan siku Mat Korro, tapi saya dah siap dengan strategi untuk patahkan rentaknya,” katanya penuh yakin.
Hafizi menjanjikan aksi berperingkat – tenang di awal, garang di tengah, dan maut di penghujung pusingan.

“Kalau dia nak jatuhkan saya pusingan pertama, itu cuma mimpi,” tegasnya yang bakal turun dalam kategori bantamweight.
Pertembungan dua generasi Muay Thai ini dijangka jadi tumpuan utama pentas Grand Final Mega 8 Pro Muaythai di Resorts World Genting.
Turut mencuri perhatian, jaguh berpengalaman Izat Zaki bakal menentang pejuang Filipina, Khen Marques dalam kategori catchweight 63 kilogram.
Bagi peminat Muay Thai, tiket Grand Final MFN 2025 kini mula dijual serendah RM79 hingga RM250 di platform rasmi acara tersebut.