MAJLIS Sukan Negara (MSN) tampil sebagai benteng awal memastikan operasi memindahkan 206 atlet dan pegawai negara dari Songkhla ke Bangkok berjalan lancar selepas venue Sukan SEA 2025 di wilayah selatan Thailand itu terjejas banjir.

Dalam kenyataan diedarkan Cawangan Komunikasi Korporat MSN, badan itu menegaskan mereka “sudah bersedia untuk membantu pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyelaraskan perpindahan seramai 206 atlet dan pegawai negara” demi keselamatan kontinjen.

MSN mengeluarkan kenyataan media berkaitan pemindahan atlet dan pegawai sukan negara yang dijadual ke Songkhla, kini beralih ke Bangkok.

MSN memaklumkan mesyuarat penyelarasan dalaman sudah dijalankan selain perbincangan bersama Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali; Chef de Mission, Nurul Huda Abdullah; dan barisan timbalannya bagi memastikan setiap detik perpindahan berada dalam kawalan.

Keputusan memindahkan semua atlet dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Ke-33 Thailand yang dipengerusikan Menteri Pelancongan dan Sukan, Atthakorn Sirilatthayakon, semalam, mengesahkan 10 sukan di Songkhla mesti dialihkan ke Bangkok.

Langkah drastik itu diambil kerana penganjur mahu memastikan temasya kekal terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan serta kesihatan atlet yang berisiko akibat krisis banjir berterusan.

Antara venue bola sepak yang terjejas banjir.

Atlet negara yang terkesan melibatkan sukan muay, silat, bola sepak lelaki, catur, judo, kabaddi, karate, petanque, wushu dan gusti yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Songkhla, kini akan ke Bangkok menggunakan penerbangan, bukan lagi menaiki bas seperti jadual asal ke Songkhla.

MOM kini menunggu pengesahan gelanggang baharu daripada pihak penganjur sebelum memaklumkannya kepada semua pasukan terbabit.

MSN turut menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok bagi mendapatkan bantuan logistik tambahan selain memaklumkan SOP khas sudah tersedia sekiranya muncul isu baharu sepanjang operasi pemindahan kontinjen negara.