JAGUH pelari menara negara, Soh Wai Ching terus mengukuhkan reputasinya sebagai pelari No.1 dunia apabila menakluk The Exchange 106 dalam satu cabaran ekstrem yang melakar rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR), awal hari ini.

Pendakian dari tingkat pertama hingga ke puncak antara bangunan tertinggi di Kuala Lumpur itu disifatkan Wai Ching sebagai pertarungan mental dan fizikal paling mencabar dalam kerjayanya, apatah lagi apabila had masa ditetapkan di bawah 14 minit.

“Hari ini memang sangat susah. Ini bukan kejohanan biasa. Saya betul-betul lawan tangga sahaja,” katanya selepas melengkapkan cabaran berkenaan.

Pelari berusia 30 tahun itu mengakui sokongan di sepanjang laluan menjadi faktor utama membolehkannya terus bertahan ketika tubuh mula menuntut rehat, terutama ketika melepasi separuh perjalanan.

“Nasib baik ada supporter. Setiap 20 tingkat ada polis bantuan yang bagi sokongan sebab mereka selalu latihan dengan saya di sini. Itu yang buat saya terus bertahan,” ujarnya.

Rekod itu lebih bermakna kerana catatan terbaik latihan peribadinya sebelum ini hanyalah 14 minit 20 saat, sekali gus menuntut Wai Ching menolak had kemampuan diri sehingga ke saat akhir.

“Kalau lebih 14 minit, memang tak berjaya. Rekod ini bukan senang dan saya memang tahu cabaran ini sangat besar,” jelasnya.

Kejayaan menawan Exchange 106 menjadi pembuka tirai tahun 2026 buat Wai Ching, yang kini menyasarkan enam rekod MBOR sepanjang tahun ini.

“Sasaran saya tahun ini enam Malaysia Book of Records. Sekarang dah dapat satu, tinggal lima lagi. Objektif saya nak cabar limitasi manusia dan tengok sejauh mana kita mampu mendaki bangunan di dunia,” katanya.

Pencapaian itu turut melengkapkan prestasi cemerlang Wai Ching di pentas antarabangsa selepas muncul juara Cinda International Financial Centre Run Up di Shanxi, China, dengan catatan 7 minit 49 saat, menjadikannya pelari pertama memecahkan had lapan minit di lokasi tersebut.