Kejayaan melangkah ke suku akhir Piala Malaysia tidak membuatkan Melaka FC terbuai, sebaliknya pengendali pasukan E Elavarasan segera menarik pemainnya kembali ke bumi nyata dengan misi lebih mendesak iaitu menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran Liga Super.

Elavarasan menegaskan fokus pasukan kini beralih sepenuhnya kepada saingan liga, dengan pertembungan getir menentang DPMM FC di tempat lawan pada 31 Januari menjadi keutamaan utama dalam perancangan pasukannya.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, Melaka FC memiliki tempoh sembilan hari untuk membuat persiapan rapi dan setiap detik akan dimanfaatkan bagi memastikan pasukan tampil lebih kemas dan berdisiplin.

“Kita perlu fokus pada perlawanan seterusnya dan kita ada sembilan hari lagi sebelum menentang DPMM FC. Kita tidak fikir lagi mengenai aksi Piala Malaysia yang seterusnya,” katanya.

Beliau turut menegaskan kedudukan liga yang masih genting memaksa pasukannya bersikap realistik dan tidak hanyut dengan euforia kejayaan piala.

“Liga juga amat penting untuk kita kerana pasukan masih berada di kelompok bawahan dan berada berhampiran zon penyingkiran. Kita perlu keluar daripada zon penyingkiran,” jelas Elavarasan.

Ketika ini, Melaka FC menghuni tangga ke-12 Liga Super dengan sembilan mata selepas 14 perlawanan, hanya tiga mata di hadapan PDRM FC selaku pasukan tercorot, selain ketinggalan lima mata di belakang Kelantan The Real Warriors di tangga ke-11.

Mengulas kejayaan bergaya menewaskan Sabah FC 3-0 di Stadium Likas yang memastikan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2, Elavarasan mengakui faktor kelebihan pemain memainkan peranan besar dalam menentukan keputusan.

“Saya rasa kita ada kelebihan apabila Sabah FC kehilangan seorang pemain dan ketika itu, kita berjaya mendapatkan jaringan. Itu yang menjadi perbezaan kerana mereka agak longgar di bahagian pertahanan,” katanya.

Namun beliau tidak mahu kemenangan itu dijadikan alasan untuk leka, sebaliknya menegaskan perjuangan sebenar Melaka FC masih jauh dari selesai apabila pertarungan keluar dari zon penyingkiran kini menjadi penanda aras kejayaan sebenar musim ini.