MALAYSIA meraih tiga gelaran di Masters Indonesia, sekali gus menjadi pencapaian terbaik sukan badminton negara dalam era moden.
Hari gemilang negara bermula dengan juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mempamerkan kebangkitan setelah tewas set pertama 15-21 kepada pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, sebelum menang 21-17, 21-11 dalam masa 57 minit.

Selepas itu, pasangan nombor dua dunia, Pearly Tan-M Thinaah mengubati kekecewaan tahun lalu ketika bergelar naib juara apabila dinobat sebagai juara tanpa perlu turun beraksi, selepas pasangan Jepun Arisa Igarashi-Miyu Takahashi, berikutan Takahashi mengalami kecederaan.
“Ini bukan cara kemenangan yang kami mahukan tapi malangnya salah seorang pemain Jepun tidak sihat,” kata Thinaah, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menaiki podium.

Melengkapkan hari cemerlang, beregu lelaki profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang tiada masalah mengatasi pasanfan muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaos Joaquin 21-19, 21-13.
Kemenangan Sze Fei-Izzuddin itu sekali gus mengekalkan kejuaraan milik Malaysia selepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun memenanginya tahun lalu.