PEMAIN beregu lelaki negara, Man Wei Chong memilih untuk ‘bernafas tenang’ tanpa tekanan apabila enggan meletakkan sasaran tinggi menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China awal bulan depan.

Menurutnya, fokus terarah kepada memastikan kecederaan lutut kanan yang dialami sebelum ini tidak kembali menghantui prestasinya di pentas besar itu.

Wei Chong yang berpasangan dengan Tee Kai Wun menjelaskan, keutamaan ketika ini adalah untuk kembali berada pada tahap fizikal terbaik tanpa dibebani tekanan keputusan.

Man Wei Chong (kanan)-Tee Kai Wun mampu mencipta kejutan di Ningbo, China.

“Memang masa first time jumpa doktor, doktor cakap tak payah operation, jadi saya harap kecederaan itu tidak berulang dekat sana (BAC) dan harap tak mengganggu masa tournament.

“So sekarang cuma paling penting kena jaga condition, jaga rehab, kuatkan muscle, itu paling penting,” katanya.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam misi pertahan gelaran di Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Begitupun, dia mengakui persiapan menuju kejohanan itu berjalan lancar dan berada di landasan tepat seperti dirancang.

Malah, sokongan rakan gandingannya, Tee Kai Wun turut menjadi ‘tonik’ penting dalam membantu mengekalkan fokus serta keyakinan menjelang aksi getir di Ningbo.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga mampu meraih kejuaraan kali ini.

Arif Junaidi-Yap Roy King ada resipi mengejutkan pasangan handalan dunia, cuma sering bertembung dengan rakan senegara, sebelum ini.

“Setakat ini progress pun agak bagus juga, jadi sekarang ada masa satu minggu lagi untuk prepare BAC, saya pun akan all out dekat sanalah dan saya rasa partner saya juga bagus sebab dia boleh faham situasi saya dan banyak cover saya dekat court,” katanya yang kini menghuni ranking keenam dunia.

Malaysia mempertaruh empat beregu lelaki, diketuai Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Arif Junaidi-Yap Roy King dan Wei Chong-Kai Wun.