Brazil menerima tamparan menjelang sepak mula Piala Dunia 2026 apabila pertahanan kanan Wesley disahkan terlepas kejohanan selepas mengalami kecederaan paha.
Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) mengumumkan pemain itu tidak dapat meneruskan kempen bersama Selecao selepas pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan pada otot adduktor paha kirinya memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang.
Wesley dilaporkan mengalami kecederaan ketika aksi persahabatan menentang Mesir dan menjalani beberapa siri pemeriksaan lanjut sebelum keputusan akhir dibuat oleh pasukan perubatan.
Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan, Brazil memanggil pemain tengah Atalanta, Ederson, untuk menyertai skuad kendalian Carlo Ancelotti menjelang saingan di Amerika Syarikat.
Pemain berusia 26 tahun itu dijangka melaporkan diri kepada kem latihan pasukan dalam masa terdekat sebelum menyertai persiapan akhir Brazil bagi menghadapi kejohanan berprestij tersebut.
Ederson tampil cemerlang bersama Atalanta sejak menyertai kelab Serie A itu pada 2022 dan menjadi antara tonggak utama pasukan berkenaan dalam beberapa musim kebelakangan ini.
Musim lalu, beliau terus mempamerkan prestasi konsisten apabila menyumbang jaringan dan bantuan gol selain memainkan peranan penting di bahagian tengah pasukan Itali itu.
Kehadiran Ederson turut mencuri perhatian beberapa kelab gergasi Eropah dengan laporan media antarabangsa mengaitkannya sebagai antara sasaran perpindahan Manchester United pada jendela perpindahan akan datang.
Brazil yang dibimbing Ancelotti akan memulakan cabaran dalam Kumpulan C dengan menentang Maghribi sebelum berdepan Haiti dan Scotland dalam baki perlawanan peringkat kumpulan.
Sumber Gambar: Facebook CBF