Portugal’s forward #07 Cristiano Ronaldo (C) reacts after a draw in the 2026 World Cup Group K football match between Portugal and the Democratic Republic of Congo at the Houston Stadium in Houston on June 17, 2026. (Photo by RONALDO SCHEMIDT / AFP)

Pengendali Portugal, Roberto Martinez tetap mempertahankan Cristiano Ronaldo meskipun kapten pasukannya itu sekali lagi gagal menemui sentuhan penyudah ketika Portugal diikat 1-1 oleh Republik Demokratik (DR) Congo dalam aksi pembukaan Kumpulan K Piala Dunia 2026.

Ronaldo yang mengetuai jentera serangan Portugal sepanjang 90 minit gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat ke arah gol, sekali gus menambah tekanan terhadap penyerang berusia 41 tahun itu yang masih memburu jaringan pertama pada kejohanan kali ini.

Bagaimanapun, Martinez menegaskan keputusan untuk mengekalkan Ronaldo di atas padang tidak pernah dipersoalkan memandangkan Portugal memerlukan pemain yang mampu mencipta perbezaan pada bila-bila masa.

“Tidak masuk akal untuk mengeluarkan penjaring gol terbaik dalam bola sepak dunia dalam perlawanan yang anda perlukan gol,” katanya.

Portugal memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila Joao Neves meletakkan pasukan itu di depan seawal minit keenam, namun gagal menambah jaringan meskipun menguasai sebahagian besar permainan.

Sebaliknya, DR Congo berjaya bangkit untuk meraih satu mata berharga menerusi gol penyamaan yang memaksa Portugal berpuas hati dengan keputusan seri.

Menurut Martinez, jaringan awal yang diperoleh pasukannya secara tidak langsung mengubah corak permainan Portugal yang menjadi terlalu berhati-hati dalam usaha mengawal perlawanan.

“Kami bermula dengan sangat, sangat baik.

“Menjaringkan gol biasanya membantu anda mengawal permainan dan mencari gol kedua, tetapi kali ini kesannya sebaliknya,” katanya.

Ronaldo yang kini membuat penampilan keenam di pentas Piala Dunia masih berpeluang mencipta sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi kejohanan berbeza.

Namun buat masa ini, penyerang berpengalaman itu masih menunggu detik tersebut selepas gagal menambah koleksi jaringannya dalam aksi pertama Portugal.

Portugal kini perlu bangkit dalam perlawanan kedua kumpulan menentang Uzbekistan bagi mengukuhkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.