PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan bagi menggantikan Peter Cklamovski.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas, rekod pencapaian serta pemahaman mendalam beliau terhadap landskap bola sepak tempatan, selain keyakinan FAM bahawa beliau mampu memberi suntikan baharu kepada skuad Harimau Malaya.

Tan Cheng Hoe bukan nama asing dalam arena bola sepak negara. Beliau pernah mengemudi skuad kebangsaan dari Disember 2017 hingga Disember 2021, selain memiliki pengalaman luas bersama pasukan pembangunan negara serta sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.

Antara kejayaan terbesar beliau termasuk membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal, selain membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

Di peringkat domestik, Cheng Hoe turut mencipta reputasi cemerlang bersama Kedah apabila membantu skuad Sang Kenari menjuarai Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017. Beliau juga pernah membimbing Selangor sebelum kembali ke FAM sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan pada April 2025.

Mengulas pelantikan itu, Tan Cheng Hoe merakamkan penghargaan kepada FAM atas kepercayaan yang diberikan untuk kembali mengemudi Harimau Malaya.

Menurutnya, tugasan kali ini hadir dengan cabaran tersendiri memandangkan persiapan pasukan bagi menghadapi Piala Hyundai ASEAN sedikit rumit apabila kebanyakan pemain sedang berada dalam tempoh off-season.

Beliau berkata fokus utama ketika ini adalah memastikan semua pemain berada pada tahap terbaik menjelang kem latihan pusat yang akan bermula pada 15 Julai, selain menekankan pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan dalam kempen akan datang.

Tan Cheng Hoe pada masa sama menyeru seluruh penyokong Harimau Malaya untuk terus memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan dalam usaha mengembalikan kekuatan pasukan di pentas Asia dan antarabangsa.