PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akan meninggalkan badan induk itu selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kerjasama berkuat kuasa 30 Jun 2026.

Keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan antara kedua-dua pihak yang bersetuju bahawa langkah itu adalah yang terbaik buat pemain berusia 26 tahun itu dalam merancang fasa seterusnya dalam karier profesionalnya.

Sepanjang bersama skuad kebangsaan, Tze Yong muncul sebagai antara pemain perseorangan lelaki utama negara dan pernah mencapai ranking tertinggi karier di tangga ke-14 dunia pada November 2023.

Antara pencapaian terbaiknya termasuk meraih pingat perak acara perseorangan lelaki dan emas berpasukan campuran di Sukan Komanwel 2022, selain membantu Malaysia memenangi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022.

Beliau turut memainkan peranan penting membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada Piala Sudirman edisi 2021 dan 2023.

Namun, perkembangan kariernya sedikit terjejas dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini susulan beberapa siri kecederaan serius termasuk kecederaan belakang pada 2024 dan kecederaan ACL pada 2025 yang memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan panjang.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz merakamkan penghargaan atas segala sumbangan Tze Yong sepanjang bersama skuad kebangsaan.

Beliau menyifatkan Tze Yong sebagai pemain penting negara yang sentiasa menunjukkan semangat juang tinggi, terutama ketika melalui tempoh pemulihan yang mencabar.

Sementara itu, Tze Yong turut menzahirkan penghargaan kepada BAM, barisan jurulatih, kakitangan sokongan serta rakan sepasukan yang banyak membantunya sepanjang perjalanan bersama pasukan negara.

Buat masa ini, fokus utama pemain kelahiran Johor itu adalah untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan sebelum kembali semula ke gelanggang bagi meneruskan perjalanan kariernya.