PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedang mempertimbangkan rombakan terhadap barisan kejurulatihan kebangsaan selepas berakhirnya saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, perkara berkenaan masih dalam perbincangan dan sebarang keputusan perlu dibuat secara bersama membabitkan jawatankuasa, barisan kejurulatihan serta Majlis BAM.

Menurutnya, rombakan itu bukan sekadar melibatkan perubahan individu, sebaliknya turut bertujuan memperkemaskan struktur kejurulatihan dan meningkatkan tahap disiplin dalam kalangan pemain kebangsaan.

“Berikan saya sedikit masa kerana saya mahu menyusun semula pasukan jurulatih. Mungkin selepas Sukan Asia kerana kami perlu berbincang dengan Majlis, Jawatankuasa, Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Beregu) dan Kenneth Jonassen (Pengarah Kejurulatihan Perseorangan),” katanya.

Chong Wei berkata, BAM turut mengambil kira keperluan membangunkan pemain muda apabila terdapat pemain berusia 13 dan 15 tahun yang dijangka menyertai skuad kebangsaan pada tahun depan.

Justeru, katanya, badan induk itu perlu memastikan struktur kejurulatihan yang diwujudkan mampu memenuhi keperluan pembangunan pemain daripada peringkat akar umbi sehingga ke skuad senior.

Rombakan itu juga mengambil kira kekosongan yang ditinggalkan bekas ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, yang menamatkan khidmatnya bersama BAM pada 31 Julai lalu selepas menyertai badan induk itu pada 2023. Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Teo Kok Siang pula dijadual melapor diri pada 1 September.

Dalam pada itu, Chong Wei menegaskan perubahan yang dirancang tidak seharusnya hanya berasaskan prestasi semasa pemain, sebaliknya perlu disertai usaha memperkukuh sistem kerja serta meningkatkan disiplin pasukan.

“Kami juga mengadakan pertemuan dengan semua jurulatih dan antara perkara yang ditekankan ialah disiplin pemain kerana jurulatih perlu lebih bekerjasama dalam memantau serta menyelesaikan masalah pemain,” katanya.

Beliau mengakui usaha memperkemas struktur kejurulatihan bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan proses berperingkat untuk mengembalikan disiplin dan memastikan keadaan terbaik buat BAM.

Jawantankuasa Prestasi BAM dijadual mengadakan mesyuarat pada Jumaat bagi membincangkan struktur kejurulatihan sebelum sebarang cadangan dibawa ke peringkat seterusnya untuk pertimbangan.