SELEPAS aksi Sukan Komanwel Glasgow, perhatian peminat sukan tanah air kini beralih ke Selangor yang bakal menjadi tumpuan menerusi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bermula esok.
Selangor selaku tuan rumah tampil dengan kontinjen 1,029 anggota terdiri daripada 838 atlet dan 191 pegawai, selain memburu sekurang-kurangnya 80 emas bagi merebut gelaran juara keseluruhan.
Bagaimanapun, usaha itu dijangka tidak mudah apabila juara empat kali, Sarawak hadir dengan sasaran 75 emas untuk mempertahankan kejuaraan, manakala Wilayah Persekutuan pula menyasarkan kedudukan tiga terbaik dengan sasaran keseluruhan 180 pingat.
SUKMA 2026 turut menjadi pentas untuk beberapa atlet muda yang sudah menunjukkan kemampuan di peringkat antarabangsa, termasuk pelari pecut Johor, Danish Iftikhar Roslee yang pernah meraih gangsa 100 meter pada Sukan SEA Thailand tahun lalu.
Armin Zahryl Abd Latif pula menjadi antara taruhan Terengganu dalam acara 110m lari berpagar selepas mencipta rekod kebangsaan 13.63 saat ketika menjuarai Terbuka Singapura pada April, selain menduduki tempat keempat Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia di China bulan lalu.
Dalam boling, Sarawak dan Selangor mempunyai prospek emas menerusi Ethan Damien Goh dan Aiman Syahin Sulaiman yang sebelum ini membantu skuad negara memenangi emas berpasukan campuran pada Kejohanan Boling Remaja Dunia di Kuching.
Tuan rumah turut mengharapkan sentuhan Goh Li Hen dalam kolam renang. Perenang itu pernah memenangi emas 200m kuak kupu-kupu pada Sukan Komanwel Remaja 2023 di Trinidad dan Tobago.
Dengan persaingan sengit membabitkan negeri-negeri terbaik serta kehadiran atlet muda berprofil tinggi, SUKMA 2026 bukan hanya mengenai perebutan gelaran keseluruhan, tetapi peluang untuk menyaksikan generasi seterusnya mula mengetuk pintu skuad kebangsaan.