Harimau Malaya berdepan tugas berat untuk menghidupkan peluang ke final ASEAN Hyundai Cup 2026 selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini.

Keputusan itu memberikan Vietnam kelebihan menjelang aksi timbal balik di Hanoi, sekali gus meletakkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam keadaan wajib memburu kemenangan bagi mengubah kedudukan dan memastikan kempen mereka tidak berakhir di peringkat separuh akhir.

Cheng Hoe terpaksa melakukan perubahan awal apabila Rodney Celvin Akwensivie mengalami kecederaan pada minit ke-16. Situasi itu membuka peluang buat Aysar Hadi Mohd Sapri melakukan penampilan sulung bersama Harimau Malaya.

Malaysia kemudian hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-34 apabila Paulo Josue terlebih dahulu dinafikan penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang sebelum percubaan susulan Daryl Sham pula gagal menemui sasaran selepas bola melepasi palang.

Vietnam turut mempunyai peluang terbaik sebelum rehat menerusi Nguyen Dinh Bac, namun Azri Ghani muncul penyelamat apabila berjaya menafikan percubaan berkenaan.

Ketika kedua-dua pasukan kelihatan bakal memasuki bilik persalinan tanpa jaringan, Xuan Son muncul pada penghujung babak pertama untuk memberikan Vietnam kelebihan 1-0.

Memasuki babak kedua, Vietnam terus meningkatkan tekanan dan hampir berdepan situasi sukar pada minit ke-61 apabila penjaga gol mereka, Le Giang dilayangkan kad merah selepas didapati menyentuh bola di luar kawasan penalti. Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan selepas pengadil Uzbekistan, Rustam Lutfullin membuat semakan VAR.

Cheng Hoe kemudian melakukan dua lagi pertukaran dengan memasukkan Haqimi Azim Rosli dan Ibrahim Manusi bagi menggantikan Mohamadou Sumareh serta Syafiq Ahmad. Ibrahim turut merekodkan penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan.

Usaha Malaysia untuk mencari gol penyamaan bagaimanapun tidak berhasil, malah Vietnam menambah derita tuan rumah pada minit ke-86 apabila Faris Danish Mohd Asrul tertampan bola ke gawang sendiri. Jaringan tersebut memastikan Vietnam membawa kelebihan 2-0 untuk aksi timbal balik di Hanoi.