KEJOHANAN sulung Lee Chong Wei (LCW) Cup bukan sekadar medan persaingan pemain muda malah menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat kebangsaan.

Datuk Seri Lee Chong Wei berkata beberapa pemain yang beraksi pada kejohanan itu berada dalam radar pihaknya untuk dipertimbangkan menyertai sesi pemilihan dan latihan skuad kebangsaan.

Menurutnya, pemilihan pemain tidak semestinya bergantung kepada keputusan akhir kerana potensi seseorang pemain boleh dilihat menerusi aksi mereka sepanjang pertandingan.

“Ia bukan hanya pemain yang masuk final atau semifinal. Walaupun di suku akhir atau kalah awal sekalipun kalau kita nampak mereka ada potensi, kita akan panggil,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata pihaknya bersama barisan jurulatih akan mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti pemain yang sesuai untuk dibawa ke proses pemilihan pada penghujung tahun.

Malah, terdapat beberapa pemain yang dilihat mempunyai kualiti untuk dipertimbangkan menyertai skuad kebangsaan.

Beliau turut memuji semangat juang yang dipamerkan pemain muda sepanjang kejohanan sambil menyifatkan penganjuran edisi pertama LCW Cup sebagai satu pengalaman penting dalam usaha menyediakan lebih banyak platform kompetitif buat pemain junior Malaysia.

Dengan kira-kira 2,200 penyertaan, beliau mengakui bukan mudah menguruskan kejohanan pada skala besar itu namun berpuas hati apabila melihat pemain muda memberikan aksi terbaik.

Dalam masa sama, Lee mendedahkan perancangan untuk menganjurkan dua kejohanan LCW Cup pada tahun depan, masing-masing bagi kategori tempatan dan antarabangsa.

Perancangan itu dilihat mampu membuka ruang lebih luas kepada pemain muda Malaysia untuk mendapatkan pengalaman menentang lawan dari luar negara.