Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan laporan media mendakwa bahawa penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi punca tercetusnya kekecohan ketika aksi separuh akhir pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) antara Pahang Rangers FC dan JDT baru-baru ini.

FAM menjelaskan bahawa laporan rasmi pegawai pertandingan yang berada di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan ketika kejadian tidak menyatakan penyokong JDT sebagai pihak yang mencetuskan insiden pada minit ke-11:07.

Sebaliknya, laporan tersebut mendapati kejadian dipercayai bermula selepas berlaku tindakan saling memprovokasi antara penyokong kedua-dua pasukan sebelum keadaan menjadi tegang.

“Berdasarkan laporan rasmi Pegawai Pertandingan yang berada di lokasi, insiden pada minit ke-11:07 itu dipercayai bermula susulan tindakan saling memprovokasi antara penyokong kedua-dua pasukan. Laporan itu turut tidak menyebut bahawa penyokong JDT merupakan kumpulan yang mencetuskan kekecohan tersebut,” kata FAM dalam kenyataan.

Menurut badan induk itu, beberapa penyokong Pahang Rangers yang dikenal pasti bukan daripada kumpulan Ultras Pahang didapati menghampiri kawasan penyokong Boys of Straits (JDT), sebelum tercetus pertikaman lidah serta insiden balingan air.

Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal dengan pantas menerusi tindakan anggota RELA yang bertugas, selain bantuan pemain kedua-dua pasukan yang turut bersama-sama meredakan situasi sebelum perlawanan disambung selepas keadaan disahkan terkawal.

Dari aspek keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menempatkan anggota di kawasan pemisah antara penyokong kedua-dua pasukan bagi mengelakkan keadaan kembali tegang.

Penyokong JDT juga diarahkan untuk kekal di dalam stadium buat sementara waktu sebelum dibenarkan meninggalkan venue secara terkawal dengan kawalan dan iringan polis sehingga ke laluan menuju lebuh raya.

FAM dalam masa sama mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan atau tuduhan terhadap mana-mana kumpulan penyokong tanpa merujuk kepada fakta serta laporan rasmi pegawai pertandingan.

“FAM akan meneliti laporan penuh berhubung insiden tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran terhadap peraturan dan disiplin pertandingan,” katanya.