KUALA Lumpur bakal menjadi pentas pertembungan legenda bola sepak dunia apabila AllStar Legends menghimpunkan bekas bintang Liga Perdana Inggeris dan ikon antarabangsa pada 3 Oktober ini.
Barisan AllStar Premier Legends menampilkan nama besar seperti John Arne Riise, Eidur Gudjohnsen, Ryan Giggs, Steven Gerrard, David Bentley, Michael Owen dan Danny Simpson.
Tidak kurang hebat, AllStar World Legends pula mempertaruhkan Javier Saviola, Jaap Stam, Fernando Morientes, Diego Capel, Dida, Alessandro Del Piero dan Gregory Van Der Wiel dalam aksi yang dijangka mencuri perhatian peminat.
Perlawanan yang sebelum ini dirancang berlangsung di lokasi terbuka kini dipindahkan ke Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) susulan keadaan jerebu dan cuaca tidak menentu.
Format bola sepak tertutup itu dijangka menghasilkan aksi lebih pantas dan dinamik selain memberikan peluang kepada peminat untuk berada lebih dekat dengan legenda yang pernah menggegarkan pentas bola sepak dunia.
Pengarah Projek AllStar Sports, Steven Windsor berkata sambutan terhadap acara itu membuktikan daya tarikan legenda bola sepak masih kuat dalam kalangan peminat pelbagai generasi selain menjadi ruang untuk mereka berkongsi semula kenangan menerusi sukan tersebut.
Trofi rasmi AllStar Legends turut diperkenalkan menjelang sepak mula dengan acara itu membawa tema ‘Rise Above All’ sebagai simbol bagaimana bola sepak terus menyatukan peminat, pemain dan generasi menerusi kecintaan terhadap permainan paling popular di dunia.