Kredit Gambar: AHF

Malaysia memastikan tiket ke final acara hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi separuh akhir hari ini.

Kemenangan di Gifu Prefectural Green Stadium itu hadir menerusi persembahan cemerlang penyerang negara, Azrai Aizad Abu Kamal yang meledak kedua-dua gol Speedy Tigers.

Azrai membuka jaringan pada minit ke-40 menerusi pukulan sudut penalti sebelum menyempurnakan pukulan penalti lima minit kemudian untuk meletakkan Malaysia di depan 2-0.

Korea Selatan yang juga juara empat kali cuba bangkit dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Lee Gang San merapatkan jurang pada minit ke-42.

Malaysia kemudian berdepan tekanan pada penghujung perlawanan apabila Korea Selatan mengeluarkan penjaga gol Kim Jae Hyon bagi memasukkan seorang pemain padang tambahan.

Namun, Speedy Tigers berjaya bertahan dalam tempoh dua minit terakhir untuk mengekalkan kelebihan dan mengesahkan kemenangan 2-1.

Kejayaan itu turut menyaksikan ketua jurulatih negara, Brendon Carolan memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, iaitu membawa Malaysia ke pentas final.

Ini merupakan penampilan ketiga Malaysia dalam final hoki lelaki Sukan Asia selepas skuad negara meraih perak di Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018.

Dalam aksi separuh akhir sebelah lagi, juara bertahan India menewaskan seteru tradisi Pakistan 4-3 untuk menempah pertemuan dengan Malaysia dalam final Sabtu ini.

India yang memburu gelaran Sukan Asia kelima kini menjadi halangan terakhir buat Speedy Tigers dalam usaha membawa pulang pingat emas dari Aichi-Nagoya.