Kredit Gambar: Bryan Nickson Lomas/X

BEKAS atlet terjun negara, Bryan Nickson Lomas menjelaskan keputusan meninggalkan Malaysia bukan sesuatu yang mudah, namun peluang untuk menimba pengalaman baharu dan mencabar diri di luar negara menjadi antara faktor utama beliau memilih untuk bersama pasukan Korea Selatan.

Bryan yang pernah memegang jawatan Pengarah Teknikal Terjun Malaysia kini berkhidmat sebagai jurulatih terjun kebangsaan Korea Selatan, dengan pasukan itu berjaya membawa pulang dua pingat perak dan tiga gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Menerusi perkongsian di laman X, Bryan berkata terdapat pelbagai pengalaman sepanjang temasya berkenaan, termasuk momen membanggakan selain kekecewaan apabila beberapa acara terlepas peluang untuk meraih pingat.

“Acara Sukan Terjun Asian Games dah habis semalam. Ada banyak momen yang membanggakan, tapi banyak juga momen sedih dan kecewa bila ada events yang terlepas peluang untuk dapat pingat,” katanya.

Bryan berkata beliau sebelum ini menghabiskan hampir empat tahun di Kuwait sebagai jurulatih sebelum kembali ke Malaysia pada 2023 dan meneruskan tugas sehingga 2025, termasuk diberikan peluang oleh MSN dan Persatuan Akuatik Malaysia untuk memegang jawatan Pengarah Teknikal Terjun.

“Saya di Kuwait dekat empat tahun jadi coach. Lepas tu balik Malaysia 2023-2025, saya diberi peluang oleh MSN & Persatuan Akuatik Malaysia untuk menjadi Pengarah Teknikal Terjun. Role yang sebenarnya saya suka. Tapi bila datang peluang ke Korea, saya terus pilih untuk pergi,” katanya.

Menurut Bryan, selain tawaran yang lebih baik, keinginan untuk meneroka pengalaman di negara lain, menambah ilmu serta menguji kemampuan diri turut menjadi antara sebab beliau menerima peluang tersebut.

“Selain daripada offer lebih baik, antara sebab paling besar saya nak explore negara luar, tambah ilmu dan cabar diri sendiri. Terima kasih semua yang sentiasa sokong,” katanya.

Bryan turut mengakui dunia sukan tidak hanya berkisar mengenai pingat yang diraih kerana atlet dan jurulatih berdepan tekanan, pengorbanan serta pelbagai emosi sepanjang melalui sesuatu pertandingan.

“Orang nampak pingat, tapi atlet, coaches tahu segala tekanan, pengorbanan dan emosi di sebalik setiap pertandingan,” katanya.

Perjalanan Bryan daripada atlet terjun negara kepada Pengarah Teknikal Terjun Malaysia sebelum meneruskan karier kejurulatihan di Kuwait dan Korea Selatan kini membuka lembaran baharu dalam usaha beliau terus menimba pengalaman serta mengembangkan pengetahuan dalam sukan terjun.