Peminat sukan permotoran tempatan berpeluang mengikuti secara langsung saingan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan perlumbaan berprestij itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan perkara berkenaan menerusi hantaran di Facebook, sambil menyifatkan siaran langsung itu sebagai peluang untuk peminat di seluruh negara mengikuti aksi dari Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia! RTM akan menyiarkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 secara langsung agar kemeriahan perlumbaan ini dapat dinikmati bersama,” katanya.
Menurut Anwar, penyiaran tersebut membolehkan peminat yang tidak berkesempatan hadir ke litar turut merasai debaran perlumbaan F1 yang kembali ke Sepang selepas sembilan tahun.
“Saya berharap siaran langsung ini memberi peluang kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air untuk merasai debaran perlumbaan bertaraf dunia dari Litar Antarabangsa Sepang,” katanya.
F1 kembali ke Sepang buat kali pertama sejak 2017 selepas Malaysia dipilih sebagai lokasi penganjuran sementara Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, susulan perubahan kalendar perlumbaan musim ini.
Perlumbaan utama dijadual berlangsung Ahad ini, 4 Oktober, dengan saingan akan menyaksikan 22 pelumba mengharungi 56 pusingan di litar sepanjang 5.543 kilometer.
Kehadiran semula F1 turut mendapat sambutan hangat apabila kira-kira 95,000 tiket dilaporkan sudah terjual setakat 26 September, dengan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat menjelang hujung minggu perlumbaan.
Selain aksi di litar, ribuan peminat tempatan dan antarabangsa turut membanjiri Sepang menjelang perlumbaan, termasuk menghadiri sesi Pit Lane Walk sehari sebelum program rasmi hujung minggu bermula.
Dengan siaran langsung RTM, peminat di seluruh Malaysia kini boleh mengikuti kemuncak kepulangan F1 ke Sepang dari rumah, ketika litar ikonik itu kembali menjadi tumpuan dunia untuk pusingan Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.