BAKAT mungkin menjadi titik mula seorang atlet tetapi sokongan, kemudahan dan pengorbanan di belakang tabir sering menjadi penentu sejauh mana potensi itu mampu berkembang.

Kisah atlet India, Vithya Ramraj di Sukan Asia 2026 menjadi gambaran jelas apabila perjalanan menuju kejayaan bermula dengan keluarganya sendiri yang terpaksa berkorban demi memastikan dia terus berlari.

Bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori sanggup mengetepikan makanan untuk menyimpan wang bagi membeli kasut latihan buat Vithya dan kembarnya, Nithya ketika keluarga mereka berdepan kekangan kewangan.

Keadaan itu berlanjutan sehingga Nithya yang sudah bekerja terpaksa mengambil peranan membantu membiayai tiket penerbangan, kasut pancang, pakaian dan keperluan pertandingan Vithya sebelum adiknya memperoleh pekerjaan pada 2021.

Pengorbanan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Vithya meraih tiga pingat termasuk emas di Sukan Asia 2026, serta mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara 400 meter lari berpagar wanita.

Saksikan temubual penuh Vithya Ramraj di https://x.com/ShivAroor/status/2105365525081772509

Kisah tersebut memperlihatkan realiti bahawa menjadi atlet bukan sekadar memiliki bakat dan kemampuan fizikal kerana kos peralatan, latihan, perjalanan, pemakanan serta penyertaan pertandingan turut memerlukan sokongan kewangan.

Di Malaysia, sokongan terhadap atlet berprestasi tinggi pula semakin disusun melalui ekosistem yang melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta persatuan sukan kebangsaan.

Malah, MSN turut menyediakan MyAthlete Centre sebagai hab kesejahteraan yang memberi perhatian kepada kebajikan, kesihatan mental dan perancangan kerjaya atlet demi menjaga atlet negara.

Sokongan seperti ini menunjukkan bagaimana perjalanan atlet Malaysia tidak hanya bergantung kepada keluarga kerana wujud rangka sokongan yang merangkumi latihan, jurulatih, sains sukan, kebajikan dan peluang selepas karier.

Berbeza dengan Vithya yang melalui perjalanan awal kerjayanya dengan keluarga menjadi tonggak utama sebelum sokongan daripada institusi dan badan berkaitan sukan hadir.

Namun, kedua-dua kisah membawa mesej sama bahawa bakat sahaja tidak cukup tanpa peluang, latihan, kewangan dan sokongan untuk mengubah potensi kepada prestasi.

Kisah Vithya dan sokongan sistemik untuk atlet Malaysia membuktikan bahawa di sebalik kejayaan seorang atlet, ada pengorbanan, sokongan dan perjalanan yang panjang sebelum sampai ke podium.

 

Kredit Gambar: David Gray / AFP