KETUA Jurulatih Kuala Lumpur Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail teruja melihat aksi anak-anak buahnya yang tidak mempedulikan status Terengganu FC sebagai pasukan elit Liga Super sebaliknya memberikan tentangan sengit meskipun tewas 0-4 dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia.

Dia juga gembira kerana melihat pemainnya dapat menimba banyak pengalaman dan pengajaran menerusi perlawanan ini dan berharap mereka akan dapat meraih perhatian kelab-kelab yang lebih besar selepas ini.

“Para pemain teruja dengan aksi ini apabila dapat bertemu pasukan Liga Super dan mereka berikan segala-segalanya. Saya melihat perbezaan tidak jauh dan ini adalah pengalaman terbaik buat para pemain saya untuk belajar terutama untuk mengatasi rasa gugup dan harap masih ada peluang ketika aksi kedua di Kuala Terengganu nanti.

“Pemain muda skuad ini memberikan aksi yang bersungguh-sungguh kerana hasil mereka mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga MBSB Bank berjaya membawa mereka sampai ke tahap ini dan diharap mereka akan dipancing oleh pasukan yang lebih ternama berdasarkan persembahan yang telah mereka tunjukkan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pendahulu Liga MBSB Bank Championship itu juga mahu menjadikan pengalaman bermain bersama pasukan Liga Super ini sebagai pemangkin semangat untuk mereka terus beraksi cemerlang dalam liga dan berharap masih mempunyai peluang apabila bertandang ke Kuala Terengganu.

“Pengalaman ini akan kami gunakan sebagai semangat untuk terus menerajui Liga MBSB Bank Championship dan jika ada rezeki beraksi di Liga Super musim hadapan.

“Untuk perlawanan kedua nanti, kita akan kekalkan corak permainan yang sama di Terengganu dan berikan aksi paling megah untuk terus menimba pengalaman kerana ini adalah peluang terbaik buat para pemain,” tambahnya.

Perbezaan kualiti menidakkan peluang Kuala Lumpur Rovers untuk mengejutkan Terengganu yang kini selangkah ke suku akhir hasil jaringan hatrik Ivan Mamut dan satu daripada Engku Shakir sebagai bekalan selesa ke Kuala Terengganu.