HASRAT melihat dua pelari negara beraksi di Olimpik Paris 2024 secara merit, tampak sukar berikutan catatan terbaik terkini Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Ballabouy agak jauh dari masa kelayakan.

Pengarah kejurulatihan Olahraga negara, Robert J Ballard mengakui tidak mudah buat Azeem berlari dalam acara 100 meter (m) dengan catatan masa minimum 9.99 saat (s) manakala Shereen pula perlu menyamai atau mengatasi 50.95s dalam acara 400m.

Begitupun, Ballard yakin dengan potensi Azeem dan Shereen dan menganggap kedua-dua pelari itu masih berpeluang layak beraksi di Olimpik.

Shereen mempamerkan peningkatan prestasi pada setiap kejohanan yang disertai.

“Saya sudah bercakap dengan jurulatih Azeem, Ken Harnden minggu lalu dan dia sangat gembira dengan perkembangan terkini Azeem.

“Program latihan baru yang diterapkan akan membantu Azeem terus berkembang maju.

“Kekuatan yang amat diperlukan untuk Azeem berlari lebih pantas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, jurulatih Shereen, Derrick White turut berkongsi perkembangan pelari kelahiran Perak itu.

Kata Ballard, Shereen akan berdepan musim sejuk yang padat yang belum pernah alaminya sebelum ini bersama-sama dengan jurulatihnya.

Robert Ballard yakin Azeem dan Shereen mampu tempatkan diri dalam kelompok 40 pelari terbaik Road to Paris.

“Saya sangat berharap bahawa kita akan dapat melihat beberapa hasil yang positif daripada kedua-dua pelari kini ini.

“Biarpun peluang untuk layak secara merit itu tampak sukar tapi mereka ada peluang untuk mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam ranking dunia,” katanya, sambil mengesahkan kedua-dua pelari itu akan kembali ke tanah air pada Jun, untuk menyertai kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.

Jika gagal layak secara merit, Azeem dan Shereen masih berpeluang beraksi di Paris dengan menempatkan diri dalam kelompok 40 pelari terbaik, Road to Paris.

Berdasarkan kelayakan World Athletics baru-baru ini, Azeem ketika ini berada di kedudukan ke-33 dalam Road to Paris bagi acara 100 meter (m) manakala Shereen berkedudukan ranking ke-92 dunia.