TUGAS berat menanti skuad Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2027 apabila diundi bersama-sama musuh tradisi, Vietnam dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.
Dalam majlis undian yang dilangsungkan di AFC House, Bukit Jalil, Malaysia turut diundi bersama Laos dan Nepal dan Harimau Malaya dilihat berpotensi untuk layak ke Arab Saudi.
Vietnam yang kini di ranking ke-116 dunia dilihat bakal menjadi halangan terbesar dan Malaysia dijangka tidak akan berdepan masalah untuk meraih mata penuh ke atas Laos dan Nepal.
Namun siapa yang bakal menjadi ketua jurulatih serta barisan pemain Harimau Malaya masih tidak diketahui kerana perubahan besar dijangka berlaku dalam struktur pasukan Harimau Malaya dengan Kelayakan Piala Asia ini akan menjadi tugasan pertama.
Meskipun dilihat sebagai penghalang, namun rekod terkini menunjukkan Vietnam sedang berdepan masalah prestasi dengan hanya memenangi satu perlawanan dari 11 aksi sejak Januari 2024.
Laos pula yang kini ditangga ke-186 dunia boleh dianggap lawan yang sudah dikenali dan perlawanan terakhir antara Malaysia dan Laos berakhir dengan kemenangan memihak Harimau Malaya 3-1 di Bangkok pada November 2024.

Keputusan undian Kelayakan Piala Asia 2027
Nepal, di ranking 175 dunia akan menjadi perlawanan pembukaan buat Harimau Malaya dalam kempen kali ini dengan rekod pertemuan memihak kepada Malaysia.
Untuk rekod, Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 di Qatar secara merit selepas 42 tahun ketika dibimbing Kim Pan Gon dan berjaya membawa pulang satu mata selepas mengikat Republik Korea 3-3.
Malaysia tidak ada pilihan lain kecuali menduduki tempat teratas kerana hanya juara kumpulan yang akan layak ke Arab Saudi sekali gus layak buat kali kedua berturut-turut.