ISU kehadiran penyokong yang semakin suram di stadium tempatan terus menjadi persoalan hangat dalam dunia bola sepak Malaysia.

Bagi Christopher Raj yang juga merupakan pemerhati sukan tanah air, masalah ini berpunca daripada kegagalan kelab-kelab Liga Super membina hubungan yang kukuh dengan peminat melalui pendekatan yang dipanggil fan engagement.

Menurut Christopher, kebanyakan kelab tempatan hanya bergantung pada media sosial semata-mata untuk mendekati penyokong, sedangkan di negara jiran seperti Indonesia, pendekatan yang jauh lebih sistematik dan canggih telah digunakan.

Beliau memberi contoh bagaimana stadium di Indonesia menggunakan teknologi pengecaman wajah (face recognition) di Stadium Gelora Bung Karno untuk mengenal pasti asal-usul penyokong yang hadir.

Teknologi itu membolehkan sistem menghantar jemputan awal untuk pembelian tiket kepada penyokong tertentu berdasarkan lokasi mereka, satu bentuk penghargaan dan penglibatan yang lebih peribadi dan tersusun.Tambah beliau, model sebegini telah lama dipraktikkan di kelab-kelab Eropah dan Jepun yang sentiasa menjadikan penyokong sebagai sebahagian daripada sistem ekosistem kelab.

Pemerhati Sukan Negara, Christopher Raj, yang juga bekas Exco FAM, tampil berkongsi pandangan realistik dalam program Nindia Bola terbitan Astro Arena.

Malangnya, di Malaysia, fan engagement masih dilihat sebagai aktiviti bermusim atau bergantung pada prestasi semasa pasukan.

Christopher juga menegaskan bahawa tanpa usaha yang konsisten untuk berinteraksi secara langsung dan membina hubungan dua hala dengan penyokong, kelab akan terus bergelut menarik penonton ke stadium apatah lagi dalam suasana liga yang semakin mencabar dengan pelbagai isu dalaman kelab.

Justeru, katanya, sudah tiba masa kelab-kelab Liga Super melabur dalam strategi fan engagement yang lebih terancang dan berskala besar, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga dengan hantaran media sosial semata-mata. Jika tidak, stadium akan terus lengang dan bola sepak kita akan kekal lesu di mata peminat sendiri.