SKUAD hoki dalam dewan negara bakal mengadakan dua aksi persahabatan bertaraf antarabangsa menentang Iran dan Ireland sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perlawanan itu penting untuk menguji kekuatan pasukan dan memperkemas taktikal sebelum beraksi di pentas sebenar.
“Ini peluang terbaik kita uji pemain dan nilai tahap semasa pasukan. Lawan pula bukan calang-calang, jadi kita boleh belajar banyak,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih hoki dalam dewan (lelaki), Rodzhanizam Mat Radzi berkata, dua perlawanan persahabatan itu amat penting selepas skuad negara hanya mendapat perlawanan kompetitif dalam kempen Piala Dunia, Februari lalu.
“Perlawanan persahabatan menentang Ireland dan Iran akan dijalankan dalam beberapa siri hujung bulan ini, dengan Ireland sudah mengesahkan akan datang ke sini manakala Iran menyatakan minat tetapi belum mengesahkan tarikh ketibaan ke Malaysia.
“Jika benar kita mahu sasarkan keputusan yang baik di Sukan SEA Bangkok, kita perlu berkerja keras kerana dua pencabar, Indonesia dan Thailand melakukan persiapan rapi sejak awal tahun lagi termasuk jelajah Eropah dan negara Asia lain,” kata Rodzhanizam.
Untuk rekod, skuad lelaki negara pernah meraih emas Sukan SEA 2017 dan 2019, manakala wanita muncul juara 2019, namun kedua-dua pasukan lelaki dan wanita sekadar membawa pulang pingat perak dari Kemboja.
Di pentas Asia, Malaysia pernah menewaskan Iran untuk menjuarai Piala Asia 2022, namun tewas 1-7 kepada pasukan sama pada final edisi 2024.