PERPISAHAN sementara dengan Toh Ee Wei nyata membuka mata pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie, dalam memahami lebih jelas keperluan dalam gandingan mereka.
Menerusi pemerhatiannya terhadap aksi Ee Wei bersama Loo Bing Kun sepanjang Kejohanan Terbuka Taiwan 2025 minggu lalu, Tang Jie mengakui banyak pelajaran penting diperoleh, terutama dalam aspek ‘rotation’ dan dinamik permainan.
“Saya tak main masa itu, jadi saya sempat tengok Ee Wei dengan Bing Kun lawan. Saya rasa opponent dia orang lebih tough dari kita. Tapi apa yang saya tengok, cara dia orang rotate dalam court memang saya boleh belajar,” kata Tang Jie ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Sementara itu, Tang Jie yang bergandingan buat kali pertama dengan Chan Wen Tse di kejohanan sama, berjaya mencipta kejutan mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada pilihan keempat dari Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu.
“Saya rasa okay lah. Apa yang saya panggil dia buat, dia buat. Tapi idea sendiri belum cukup. Dalam semi-final pun kita tak cukup bagi tekanan kepada lawan, jadi memang kena perbaiki bab konsistensi dan decision making,” katanya, mengenai persembahan Chan Wen Tse.
Sebelum kembali bergandingan dengan Ee Wei, Tang Jie akan bersama Wen Tse sekali lagi pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters minggu hadapan.
“Tak ada expectation sangat, cuma nak buat yang terbaik. Tournament 500 ni pun jauh lebih tough. Tapi ini peluang baik untuk partner saya tengok di mana gap dia dengan pemain dunia,” ujarnya.