BELUM sempat kering keringat kemenangan di Terbuka Singapura, pasangan emas negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah kembali ‘on mode’, buru satu lagi gelaran di Terbuka Indonesia 2025, kejohanan bertaraf Super 1000 paling berprestij selepas All England dan Jelajah Dunia Akhir.

Kemenangan bergaya ke atas gandingan Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae di final semalam, bukan sekadar memastikan kejuaraan sulung mereka di Singapura, malah membuktikan Aaron-Wooi Yik kini sedang berada pada prestasi paling solid sejak awal musim.

“Kami gembira dengan kemenangan ini, tapi kami tak akan berhenti di sini. Misi seterusnya adalah di Jakarta. Kami tak nak perlahan. Kami terus ‘push’ antara satu sama lain,” kata Aaron selepas aksi final penuh intensiti itu.

Dalam aksi yang berlangsung tiga set, Aaron-Wooi Yik kekal tenang meskipun diasak hebat pasangan lawan yang tampil segar dan agresif sebelum capai kemenangan 15-21, 21-18, 21-19 dalam tempoh 65 minit.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya tewas sekali dalam 15 perlawanan terakhir.

Selepas menjuarai Kejohanan Badminton Asia awal April lalu, gandingan yang dua kali memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik itu melangkah ke tiga final Kejohanan Jelajah Dunia berturut-turut, juara Terbuka Thailand (Super 500), naib juara Masters Malaysia (Super 500) dan juarai Terbuka Singapura (Super 750).

“Coach baru kami banyak perkemaskan permainan kami. Sekarang kami lebih yakin dan tahu apa yang perlu dilakukan di gelanggang,” kata Aaron, memuji impak kerja keras di sesi latihan yang dikendalikan Herry Iman Pierngadi.

Dengan hanya satu kekalahan daripada 15 perlawanan terakhir, Aaron-Wooi Yik kini muncul antara beregu lelaki paling konsisten musim ini, tetapi mereka tetap merendah diri dan bertekad untuk tampil lebih tajam di kejohanan seterusnya.

“Kami rasa kami belum capai potensi penuh lagi. Di latihan kami beri 100%, di kejohanan mungkin baru 60-70% je keluar. Kami yakin boleh lebih baik di Terbuka Indonesia,” kata mereka sambil mengakhiri dengan senyuman kemenangan.