FAKTOR tuah dianggap menjadi penyelamat buat Muangthong United meraih tiga mata menewaskan Selangor FC 1-2 di Stadium MBPJ sekaligus mencerahkan kembali peluang untuk layak ke peringkat seterusnya dalam Liga Juara-Juara AFC 2.

Pembantu jurulatih, Uthai Bunmo mengakui tiga mata ini sangat berharga buat Muangthong United yang kini berada dalam prestasi yang baik dan hanya satu kemenangan memisahkab mereka dari menjadi 16 pasukan terbaik.

“Tuah nyata menyebelahi kami selepas lawan menjaringkan gol terlebih dahulu dan juga beberapa percubaan mereka terkena tiang gol tetapi ada kalanya kita memang perlukan tuah untuk memenangi perlawanan.

“Kami bermula agak perlahan kerana masih tidak biasa dengan keadaan stadium dan padang tetapi selepas lawan menjaringkan gol, kami mula mendapat rentak dan akhirnya berjaya mendapatkan tiga mata yang sangat penting buat kami.

“Perlawanan terakhir menentang Jeonbuk sangat sukar walaupun mereka sudah layak tetapi kami akan berikan segalanya dan mencari peluang untuk cipta kemenangan dan layak ke peringkat seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Penjaring gol kemenangan, Poramet Arjvilai juga senada dengan pembantu jurulatihnya dan menganggap peluang mereka mara lebih jauh kini terletak di tangan sendiri selepas berjaya memulakan saingan ACL2 ini dengan perlahan.

“Seperti yang dikatakan oleh jurulatih, kami kini berpeluang untuk ke peringkat seterusnya tetapi kami perlu bermain di stadium yang lain namun ianya masih memberikan peluang buat kami untuk layak meskipun tahu kualiti yang ada pada Jeonbuk,” jelasnya yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Muangthong United mengambil kesempatan situasi bola mati untuk bangkit menghukum Selangor FC sekaligus melonjak ke tangga kedua Kumpulan H dan kemenangan keatas Jeonbuk pada 5 Disember akan melayakkan mereka ke pusingan 16 terbaik ACL2.