Mexico’s head coach Javier Aguirre gives a press conference at the Mexico City Stadium in Mexico City on June 10, 2026, on the eve of the 2026 World Cup football match between Mexico and South Africa. (Photo by Alfredo ESTRELLA / AFP)

KETUA jurulatih Mexico, Javier Aguirre berharap skuad kendaliannya mampu mencipta sejarah apabila membuka kempen Piala Dunia 2026 menentang Afrika Selatan di Stadium Azteca awal pagi esok.

Bagi pengendali berusia 67 tahun itu, perlawanan berkenaan membawa makna yang cukup istimewa kerana beliau pernah merasai pengalaman beraksi di venue sama sebagai pemain ketika Piala Dunia 1986 yang turut dianjurkan Mexico.

Aguirre mengakui tiada pengalaman sepanjang lebih lima dekad penglibatannya dalam dunia bola sepak mampu menandingi perasaan beraksi di hadapan penyokong sendiri pada pentas terbesar dunia itu.

Beliau yang merupakan anggota skuad Mexico pada edisi 1986 berkata kenangan menentang Belgium dalam aksi pembukaan kejohanan tersebut masih segar dalam ingatannya sehingga hari ini.

Kini mengemudi El Tri buat kali ketiga, Aguirre mahu pengalaman dan keyakinan yang pernah dirasainya sebagai pemain diterapkan kepada generasi baharu Mexico yang bakal merasai pengalaman beraksi di Piala Dunia di laman sendiri.

Menurutnya, faktor mental dan pengurusan emosi akan menjadi kunci utama ketika berdepan tekanan daripada puluhan ribu penyokong yang memenuhi stadium.

“Perlawanan seperti ini bukan hanya mengenai bola sepak. Pemain perlu bijak mengawal emosi dan kekal fokus sepanjang 90 minit,” katanya.

Mexico turun sebagai pasukan pilihan untuk meraih kemenangan ke atas Afrika Selatan dalam aksi pembukaan Kumpulan A, namun Aguirre mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu ghairah mencari kemenangan awal.

Beliau turut menyedari satu rekod kurang memberangsangkan yang menghantui Mexico apabila negara itu masih gagal mencatat kemenangan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia selepas tujuh penampilan terdahulu.

Justeru, Aguirre percaya skuadnya mempunyai motivasi tambahan untuk menamatkan penantian tersebut sekali gus menghadiahkan permulaan sempurna kepada penyokong tuan rumah dalam edisi terbesar Piala Dunia yang melibatkan 48 pasukan.

“Kami kini mempunyai satu lagi sebab untuk menang. Sudah tiba masanya rekod itu diubah,” katanya.