IBU bapa kepada mendiang penyerang Liverpool, Diogo Jota, Joaquim dan Isabel Silva, menerima Anugerah Khas Globe Soccer dengan penuh emosi pada majlis Anugerah Globe Soccer 2025 yang berlangsung di Dubai. Anugerah tersebut disampaikan sebagai penghormatan kepada legasi Jota yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol pada Julai lalu.
Majlis itu menjadi detik menyentuh perasaan apabila Joaquim dan Isabel naik ke pentas mewakili dua anak mereka, Diogo Jota dan André Silva serta kehadiran mereka mendapat tepukan gemuruh hadirin sebagai tanda penghormatan kepada sumbangan Jota dalam dunia bola sepak serta keperibadiannya yang disenangi ramai.
Diogo Jota dan adiknya André Silva terkorban dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta berhampiran Zamora ketika mereka dalam perjalanan kembali ke Liverpool untuk menyertai latihan pramusim. Pemergian Jota pada usia 28 tahun meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga malah kepada komuniti bola sepak antarabangsa.
Beberapa hari sebelum majlis anugerah itu, suasana penuh emosi turut dirasai di Anfield apabila anak anak Jota dibawa masuk ke padang sebagai maskot semasa perlawanan Liverpool menentang Wolves. Seluruh stadium bangun memberikan tepukan sebagai tanda penghormatan kepada bekas pemain kesayangan mereka.
Liverpool turut mengabadikan legasi Jota dengan memansuhkan jersi nombor 20 di semua peringkat kelab, pemain dan staf kelab juga memakai lambang Forever 20 sepanjang musim 2025 hingga 2026 sebagai tanda ingatan dan penghormatan berterusan.
Sokongan terhadap keluarga Jota turut datang daripada kelab kelab lain. Chelsea antara yang tampil menyumbang sebahagian ganjaran kejohanan kepada keluarga mendiang. Dana yang dikumpul oleh penyokong juga akan digunakan untuk menubuhkan program bola sepak akar umbi atas nama Diogo Jota sekali gus memastikan legasinya terus hidup.
Kredit Gambar : Globe Soccer Awards 2025