BEREGU lelaki negara, Man Wei Chongmahu menampilkan impak besar di awal musim 2026, apabila meletak sasaran berani memburu pentas final Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Bergandingan bersama Tee Kai Wun, Wei Chong melihat kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 itu sebagai medan terbaik untuk mencetus impak di gelanggang sendiri.
Pemain berusia 26 tahun itu mengakui masih ada sisi permainan yang perlu diperkemas, namun percaya momentum dan keyakinan mampu menjadi pemangkin kebangkitan.
Keletihan serta kekangan masa latihan selepas pulang dari China diakui memberi cabaran, tetapi tidak menggugat fokus mereka untuk memburu kejayaan besar.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun mendapat undian sukar seawal pusingan pertama.
“Tahun ini kami sudah sampai separuh akhir, jadi sasaran saya di Terbuka Malaysia 2026 adalah ke final dan naik podium,” kata Wei Chong dengan nada penuh tekad.
Musim 2025 menyaksikan gandingan nombor lima dunia itu berdepan prestasi tidak menentu, namun tetap mencuri perhatian dengan dua gelaran di Indonesia Masters dan Malaysia Masters.
Wei Chong mengakui peningkatan jelas ditampilkan berbanding musim terdahulu, meskipun konsistensi masih menjadi tembok yang perlu dirobohkan untuk menyaingi beregu elit dunia.
Wei Chong-Kai Wun bakal membuka tirai kempen pada 6 Januari ini menentang gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang menghuni ranking ke-10 dunia, dengan rekod toga pertemuan memihak lawan (2-1).