KETUA Jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli, mengakui keputusan undian bola sepak wanita Sukan SEA 2025 di Thailand sebagai satu kejutan besar apabila Malaysia diletakkan dalam kumpulan yang dianggap “kumpulan maut” bersama pasukan berstatus gergasi rantau ini.

Cornelli menyifatkan pembahagian kumpulan itu sebagai tidak seimbang kerana kumpulan Malaysia menampilkan tiga pasukan dengan ranking dunia yang tinggi — masing-masing di kedudukan 37, 39 dan 56 dunia, manakala kumpulan satu lagi hanya menampilkan Thailand sebagai pasukan dengan kedudukan ranking baik, diikuti Kemboja, Indonesia dan Singapura yang berada jauh di bawah senarai dunia.

 

“Terus terang, saya rasa ia tidak adil. Satu kumpulan terlalu kuat, manakala satu lagi hanya ada satu pasukan dengan ranking tinggi. Namun, kami tetap akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.

Cornelli bagaimanapun menegaskan bahawa skuad bimbingannya akan menggunakan peluang ini untuk memperkukuh aspek teknikal dan mental pemain menjelang cabaran sebenar di Bangkok Disember ini. Fokus utama Malayan Tigress, katanya, adalah mara ke peringkat separuh akhir, meskipun menyedari cabaran getir menanti.

 

“Matlamat kami jelas — kami mahu layak ke separuh akhir. Kami tahu kekuatan pasukan lawan, tapi kami ke Thailand bukan sekadar untuk melengkapkan jadual, kami mahu buktikan kemampuan Malaysia,” ujar pengendali itu.

Cornelli turut menekankan kepentingan dua aksi persahabatan menentang Hong Kong, yang kini berada di ranking ke-83 dunia, sebagai medan penting menguji tahap persiapan skuad kebangsaan.

Malaysia akan turun menentang Hong Kong pada Rabu, 22 Oktober di Pusat Latihan Bola Sepak HKFA Jockey Club, China, sebelum satu lagi perlawanan berlangsung pada Sabtu, 25 Oktober di Kai Tak Youth Sports Ground.

“Dua perlawanan ini sangat penting untuk kami menilai tahap pemain, menyesuaikan sistem taktikal dan meningkatkan prestasi. Ini fasa penting untuk membentuk identiti permainan kami menjelang Sukan SEA,” tambah Cornelli yang optimis skuadnya mampu menampilkan aksi lebih tersusun hasil tempoh latihan intensif yang dijalankan di Malaysia sebelum ini.